Juara Liga Super musim 2021, Johor Darul Ta’zim akan mengadakan perlawanan pra musim di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Januari ini dan bakal menghadapi empat kelab dari Eropah.

Perkara ini dikongsikan oleh pihak kelab dimana empat pasukan dari Eropah yang bakal dihadapi ialah Spartak Moscow dan Rodina Moscow (Russia), Riga FC (Latvia) serta MSK Zilina (Slovakia).

“Skuad Harimau Selatan akan melapor diri untuk pra-musim pada bulan Januari dan kemudiannya akan terbang ke UAE untuk beberapa siri perlawanan persahabatan dan aktiviti bersama pasukan.

“Ini adalah kali kedua JDT melawat UAE untuk pra-musim, sama seperti yang dilakukan pada tahun 2020. Pandemik Covid-19 telah menghalang perancangan-perancangan untuk pra-musim yang berpangkalan di luar negara pada 2021,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab.

Hasrat Johor Darul Ta’zim untuk muncul juara berganda musim ini tidak kesampaian apabila mereka tewas kepada Kuala Lumpur City di pentas perlawanan akhir Piala Malaysia sekaligus hanya memenangi saingan Liga Super musim ini.

Zhafri Yahya dan Paulo Josue menjadi wira Kuala Lumpur City dimana kedua-dua pemain ini menjaringkan gol pada pentas akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sekaligus menamatkan penantian selama 32 tahun untuk menjadi juara Piala Malaysia.

Selain itu, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest memaklumkan beberapa perkembangan terkini mengenai pemain yang dilepaskan dan dibawa masuk bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.

“Hong Wan, bekas pemain Wolverhampton Wanderers telah menerima pasport Malaysia beliau dan beliau akan memperkuatkan skuad JDT 2022. Kelab telah memutuskan untuk melepaskan Gonzalo Cabrera dan akan mengekalkan kesemua pemain luar negara yang lain dalam pasukan senior.

“Seorang daripada empat pemain luar negara baru akan digandingkan dengan Bergson manakala yang lain akan diserapkan ke JDT II untuk digunakan dalam sistem rotation.

“JDT juga akan merekrut Endrick dos Santos untuk musim 2023, dengan kemungkinan untuk dinaturalisasi,” kata Martin Prest.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim hadapan di sini:

Syazwan Andik Dan Fadhli Shas Sah Sertai Melaka United

Syafiq Ahmad Akan Dipinjamkan Ke Kelab Lain Untuk Dapatkan Lebih Banyak Minit Permainan

TERKINI: JDT Ucap Salam Perpisahan Kepada Gonzalo Cabrera