Isu tunggakan gaji sentiasa menjadi penyakit utama bola sepak Malaysia sehingga kini. Sebelum ini peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan pembubaran pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia seperti Kuantan FA, Marcerra United, Hanelang FC serta Terengganu City FC gara-gara kerana masalah kewangan yang serius.

Terbaharu, kelab bola sepak Batu Dua FC yang beraksi dalam saingan divisyen 3 Liga Malaysia (M3) dikatakan bakal berkubur dalam masa terdekat kerana kehabisan dana untuk meneruskan perjalanan mereka dalam saingan liga tersebut.

BacaPemain Batu Dua FC Semakin ‘Pokai’ Gaji Tidak Dibayar

Menurut sumber daripada La Bola Malaya, pemain daripada kelab tersebut masih tidak menerima gaji mereka sejak bulan April lalu dan kemungkinan besar tidak akan terbang ke Kuching untuk perlawanan liga M3 menentang Kuching FA pada hari sabtu ini.

“Mereka mungkin terpaksa menarik diri daripada Liga M3 dan ‘menutup kedai’ jika situasi sebegini berterusan.

“Kelab berkenan benar-benar dalam keadaan terdesak sekali gus menjejaskan semangat pemain namun mereka masih mahu meneruskan perjuangan dengan harapan gaji mereka dibayar walaupun lewat,” kata sumber itu.

67534008_1044151549122050_2133122209370079232_n
FOTO: Batu Dua FC

Difahamkan pemain Batu Dua FC hanya diberi wang saguhati sebanyak RM2000 untuk menyambut Aidilfitri bulan lalu dan RM300 sebelum sambutan Aidiladha, Ahad lepas.

Bagaimanapun, ketika dihubungi oleh pihak La Bola Malaya, beberapa pemain pasukan tu enggan tampil memberi kenyataan dan mengambil sikap untuk mengunci mulut. Hal ini kerana mereka terikat dengan satu syarat yang dikenakan oleh pihak penaja.

Syarat itu ialah melarang pemain membuat kenyataan kepada media berkaitan sebarang isu mengenai gaji dan jika mereka melanggar perjanjian itu, mereka berdepan hukuman tidak akan dibayar gaji.

“Minta maaf, saya tidak boleh komen,” kenyataan ringkas yang diberikan oleh pemain tersebut yang tidak didedahkan namanya.

Sebelum ini pemain import pasukan itu, Ljuba Baranin mengemparkan bola sepak tempatan apabila mendedahkan pengurusan Batu Dua FC tidak menghormati beliau sebagai pemain import pasukan.

Beliau turut menyifatkan pemilik kelab yang sinonim dengan panggilan Tuan Muda juga berpura-pura mempunyai dana namun hakikatnya pemilik tersebut tidak mempunyai wang apabila sering memberi cek palsu kepadanya.