Beberapa jam lalu, manusia terkaya dunia, Elon Musk secara terbuka mengumumkan mahu membeli kelab bola sepak Manchester United. Beliau membuat pengumuman tersebut melalui laman twitternya sekaligus menjadi bualan dalam kalangan warga maya.

Kenyataan yang dibuat CEO syarikat kereta terkemuka, Tesla ini memberi sedikit kegembiraan khususnya buat peminat Manchester United namun terdapat pihak yang tidak meletakkan harapan tinggi kerana beliau kerap ‘bergurau’ melalui platform Twitter.

“Saya mahu membeli Manchester United terima kasih,” kata Musk dalam satu ciapan di Twitter.

Tidak lama selepas itu, peminat United rasa tertipu apabila Elon Musk mengakui beliau sebenarnya membuat lawak dan tidak akan membeli mana-mana kelab sukan termasuk pasukan bola sepak.

“Adakah anda serius?” kata pemilik Tesla Silicon Valley.

“Tidak, ini sebenarnya lawak jenaka di Twitter. Saya tidak membeli mana-mana kelab sukan,” jawapan Musk yang terus menjadi tular sehingga mendapat lebih 2,000 retweet dan lebih 10,000 likes.

Jawapan daripada Elon Musk tersebut turut mengundang reaksi yang kurang senang dalam kalangan peminat United. Mereka menyifatkan ini bukan masa untuk bergurau kerana kelab tersebut memerlukan pemilik baharu bagi mengembalikan semula zaman kegemilangannya.

Bagaimanapun, Musk turut menjelaskan beliau masih peminat Manchester United sejak kecil dan pasti akan membeli kelab tersebut jika mempunyai peluang.

“Jika terdapat mana-mana pasukan, ianya Manchester United. Mereka ini kelab kegemaran saya sejak kecil,” katanya melalui ciapan balas.

Peminat setia United sememangnya tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan tersebut yang semakin merosot sejak dikawal oleh keluarga Glazer dari Amerika Syarikat (AS).

Kini, mereka melancarkan kempen mengosongkan Stadium Old Trafford ketika perlawanan menentang Liverpool pada 22 Ogos akan datang. Ini perlawanan derbi Barat Laut pertama pengendali baharu, Erik Ten Hag.

Penyokong Manchester United sudah lama melancarkan kempen anti Glazers. Malah dalam perlawanan pertama EPL musim ini, peminat mereka melaungkan slogan anti Glazers di hadapan pemilik kelab itu sendiri yang hadir di Old Trafford.

Mereka mahu meniru apa yang dilakukan peminat Valencia sebelum ini ketika membantah pemilik kelab mereka.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak eropah melalui pautan dibawah.

Guardiola: Corak Bertahan Bournemouth Menyukarkan Haaland

Wenger: Chelsea Kelab Pertama Berbelanja Wang Yang Bukan Pendapatan Mereka

Klopp Anggap Darwin Nunez Termakan Provokasi