Manusia terkaya dunia, Elon Musk secara terbuka mengumumkan mahu membeli kelab bola sepak Manchester United. Beliau membuat pengumuman tersebut melalui laman twitternya sekaligus menjadi bualan dalam kalangan warga maya.

Kenyatan yang dibuat CEO syarikat kereta terkemuka, Tesla ini memberi sedikit kegembiraan khususnya buat peminat Manchester United namun terdapat pihak yang tidak meletakkan harapan tinggi kerana beliau kerap ‘bergurau’ melalui platform Twitter.

“Saya mahu membeli Manchester United terima kasih,” kata Musk dalam satu ciapan di Twitter.

Manchester United adalah salah satu kelab bola sepak yang mempunyai penyokong paling ramai di dunia. Kelab itu merupakan juara liga di England untuk rekod 20 kali dan telah memenangi Piala Eropah, pertandingan kelab paling berprestij di dunia sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, peminat setia United tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan tersebut yang semakin merosot sejak dikawal oleh keluarga Glazer dari Amerika Syarikat (AS).

Dan kini, mereka melancarkan kempen mengosongkan Stadium Old Trafford ketika perlawanan menentang Liverpool pada 22 Ogos akan datang. Ini perlawanan derbi Barat Laut pertama pengendali baharu, Erik Ten Hag.

Penyokong Manchester United sudah lama melancarkan kempen anti Glazers. Malah dalam perlawanan pertama EPL musim ini, peminat mereka melaungkan slogan anti Glazers di hadapan pemilik kelab itu sendiri yang hadir di Old Trafford.

Mereka mahu meniru apa yang dilakukan peminat Valencia sebelum ini ketika membantah pemilik kelab mereka.

Namun, apakah Manchester United akan kembali menyinar jika Elon Musk memiliki keseluruhan saham kelab tersebut pada masa yang akan datang? Peminat United sudah mula membayangkan pembelian pemain bintang beramai-ramai jika Elon Musk berjaya menjadi pemilik kelab tersebut.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak eropah melalui pautan dibawah.

Guardiola: Corak Bertahan Bournemouth Menyukarkan Haaland

Wenger: Chelsea Kelab Pertama Berbelanja Wang Yang Bukan Pendapatan Mereka

Klopp Anggap Darwin Nunez Termakan Provokasi