Skuad kebangsaan China kini mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan apabila mereka telah menyenaraikan pemain kelahiran Brazil, Elkeson sebagai pemain naturalisasi bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Penyerang yang berusia 30 tahun itu beraksi di China sejak tahun 2013 dan kini telah menjaringkan 8 gol selepas mengharungi 15 perlawanan Liga Super China bersama kelab Shanghai SIPG musim ini.

Beliau adalah pemain naturalisasi kedua yang diberi status warganegara China selepas pemain kelahiran London, Nico Yennaris. Mereka adalah sebahagian daripada 35 pemain yang disenaraikan dalam skuad oleh Marcello Lippi bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Myanmar (30 Ogos) dan perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Maldives pada 10 September depan.

Kehadiran bekas pemain itu turut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat bola sepak China yang mendakwa Elkeson tiada darah keturunan Cina berbanding Yennaris yang mempunyai darah campuran Cina sebelah ibunya.

Bagaimanapun, pengendali skuad itu, Marcello Lippi tidak mahu terlalu memikirkan tentang isu tersebut kerana mereka terdesak untuk membentuk barisan yang mantap supaya China mampu layak ke Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah bola sepak mereka.

CFA announces the 35-man squad for the training preparing for the 2022 FIFA World Cup Asian qualifiers. Intensive…

Posted by China PR National Football Team 中國國足 on Wednesday, 21 August 2019

Malah, jurulatih dari Itali itu memberi bayangan beliau akan melepaskan jawatannya jika gagal membawa pasukan negara itu layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

Pada Januari lalu, Lippi pernah menolak untuk menyambung kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak China (CFA) selepas skuad bimbingannya tumpas kepada Iran 0-3 pada suku akhir Piala Asia 2019.

Pengganti beliau ketika itu yang merupakan bekas kapten skuad Piala Dunia Itali, Fabio Cannavaro turut mengumumkan perletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan China selepas gagal meraih kemenangan pertama ketika menentang Thailand dan Uzbekistan dalam Piala China bulan lalu. Mereka tewas 0-1 kepada kedua-dua pasukan tersebut.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group