Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, E. Elavarasan meletakkan sasaran mahu layak ke perlawanan akhir pada temasya Sukan SEA 2023 yang akan berlangsung di Kemboja.

Prestasi skuad muda negara melegakan para peminat bola sepak tempatan apabila berjaya menjulang Piala Merlion 2023 selepas menundukkan Hong Kong B-22 dengan keputusan 2-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam.

Kemenangan tersebut penting dalam meningkatkan moral skuad kendalian E. Elavarasan itu yang akan menghadapi saingan Sukan SEA pada awal Mei nanti.

Bercakap kepada Berita Harian, Elavarasan menyifatkan final Sukan SEA 2023 adalah sasaran yang realistik untuk dicapai dan persiapan rapi akan dilakukan mulai sekarang.

“Kali terakhir kita jadi juara adalah pada edisi 2011 dan sekarang sudah tahun 2023. Sudah pasti sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu wajar.

“Bagi pandangan barisan kejurulatihan, sudah tentu kami akan buat yang terbaik untuk capai KPI (petunjuk prestasi utama) terbabit,” katanya.

Ia sekali gus mahu memperbaiki kedudukan keempat yang diraih skuad muda negara pada aksi di Vietnam, tahun lalu dimana Malaysia tunduk kepada Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti dalam perebutan pingat gangsa.

“Persediaan kita dilaksanakan pada setiap bulan dimana fasa pertama bermula pada November tahun lalu.

“Fasa latihan pertama mengambil masa selama sembilan hari, fasa kedua juga baharu sahaja berakhir sehari lepas ia diadakan pada 14 hingga 19 Februari.”

“Jadi pada kedua-dua fasa, kami telah mengadakan masing-masing satu perlawanan persahabatan dengan dua set pemain yang berbeza.

“Pada Sukan SEA yang lalu kita layak sehingga ke separuh akhir dan menamatkan kedudukan di tempat keempat. Jadi sudah tentu dengan wajah [pemain] dan barisan kejurulatihan baharu jadi harapannya lebih tinggi dan kami kami melakukan yang lebih baik daripada tahun lalu.”

“Jadi, saya merasakan layak ke perlawanan akhir adalah sangat penting bagi kami. Pemain dan jurulatih juga sangat bermotivasi untuk mencapainya,” jelas Elavarasan.