Ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan menyifatkan peluang masih ada buat skuad bimbingannya untuk kembali mengejar takhta Liga Premier Malaysia 2021 dengan baki perlawanan yang masih ada selepas mereka tumbang 0-1 di tangan Terengganu FC II malam tadi.

Jaringan kemenangan Jordan Mintah menerusi sepakan penalti pada minit ke-19 itu menyaksikan Sarawak United ketika ini berada di tangga ketiga dengan 24 mata.

Keadaan itu menyebabkan Sarawak Unite ketinggalan dua mata di belakang pasukan tangga kedua, Negeri Sembilan manakala dijarakkan empat mata dengan TFC di kedudukan teratas liga.

Bagaimanapun, masih ada sinar buat Sarawak United untuk bangkit kerana mereka masih kekurangan dua perlawanan berbanding dua pasukan di tangga teratas itu.

Dalam pada itu, apa yang penting bagi Elavarasan ialah pasukan perlu mencari semula kemenangan yang berharga bagi memperbaiki kedudukan agar tidak terus tercicir mata.

“Apabila TFC mendapat gol pada babak pertama, kita cuba menyamakan kedudukan, tetapi serangan kita tak menjadi.”

“Malah, pertahanan mereka juga kuat dan kami cuba untuk mencari gol tetapi tidak berhasil, jadi kita akan perbaiki kesilapan ini untuk aksi-aksi akan datang”,  tambah pengendali berpengalaman itu lagi.

Tiga lagi perlawanan berlangsung pada hari ini membabitkan Kelantan United FC menentang Selangor FC 2 di sebelah petang manakala aksi antara Skuad Projek FAM dan Negeri Sembilan FC serta Perak FC II melawan Johor Darul Ta’zim II akan berlangsung pada malam ini.

Baca artikel-artikel lain yang disediakan untuk anda:

Isu Pergaduhan Zafuan Azeman Dengan Gassama Alfusainey Selesai

Leboeuf: Jules Kounde Mampu Jadi Pembelian Cukup Baik Buat Chelsea

Dua Kelab La Liga Berminat Tandatangani Takefusa Kubo Secara Pinjaman