Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam mengumumkan penolong ketua jurulatih Harimau Malaya, E. Elavarasan sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan yang baharu bagi persediaan pasukan menghadapi beberapa kejohanan utama, tahun depan.

Elavarasan akan dibantu oleh Juan Torres Garrido dari Sepanyol sebagai penolong ketua jurulatih; Kris Yong sebagai jurulatih penjaga gol, Jihyeon Park dari Republik Korea sebagai jurulatih kecergasan dan Lee Jeyoon juga dari Republik Korea sebagai jurulatih analisis prestasi.

Bekas jurulatih Sarawak United itu turut ditugaskan untuk mencari bakat muda yang baharu untuk diserapkan dalam skuad Harimau Malaya.

“Ia merupakan satu penghormatan buat diri saya diberikan tanggungjawab untuk menggalas jawatan ini.

“Sudah tentu ia akan menjadi tugas yang berbeza buat saya memandangkan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih B-23 bukanlah mudah seperti yang disangka.

“Saya bukan sahaja perlu mengemudi skuad ini, malah saya juga dipertanggungjawabkan untuk mencari bakat-bakat baharu untuk diserapkan ke pasukan senior. Apapun saya cuba memberikan yang terbaik buat pasukan ini,” kata Elavarasan ketika sidang media.

FOTO: FAM

Antara tugasan besar yang bakal menanti Elavarasan ialah saingan kelayakan Piala Asia B-23 dimana kejohanan ini turut menawarkan 3 slot ke Sukan Olimpik 2024.

“Saya rasa sudah lama pasukan bola sepak kita tidak layak ke temasya Olimpik sejak melakukannya 42 tahun lalu.

“Buat masa ini ranking Malaysia di rantau Asia berada di kedudukan ke-26 dan hanya ada tiga slot automatik diberikan untuk ke temasya Sukan Olimpik 2024 nanti. Namun, kita akan tetap berusaha memberikan yang terbaik dalam usaha ke arah itu.

“Secara keseluruhan, jika kita berjaya mendapatkan barisan pemain terbaik dengan komitmen penuh diberikan oleh pasukan yang bertanding, mungkin segala sasaran yang diletakkan tidak mustahil boleh dicapai,” katanya.

Beliau juga turut mempunyai perancangan untuk membentuk skuad yang mantap dan akan memantau saingan Liga Simpanan mencari beberapa pemain muda berpotensi.

Liga Simpanan diwujudkan mulai musim depan untuk memberi peluang kepada pemain muda bawah 23 tahun mempamerkan bakat mereka dalam saingan kompetitif.

“Kita sudah mempunyai perancangan untuk membentuk skuad dan untuk merealisasikan rancangan itu kita perlukan kerjasama daripada semua kelab kerana kita boleh ada rancangan terbaik dengan barisan kejurulatihan terbaik tetapi jika pemain tidak dilepaskan oleh kelab masing-masing, bagaimana hendak bina sebuah skuad ampuh.

“Dengan wujudnya Liga Simpanan pada musim depan ia pasti akan memberi kelebihan kerana kita akan dapat cari lebih banyak bakat untuk untuk diserap ke skuad B-23. Saya juga yakin kesemua kelab turut teruja dengan penstrukturan liga musim depan,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Aksi Selangor Menentang JDT Bakal Disiarkan Secara Langsung Di TV9

Penyokong Terengganu ‘Habiskan’ Semua Tiket Final Piala FA

Pemain Sarawak United Sudah 4 Bulan Tidak Terima Gaji

Final Piala FA Serentak Dengan Konsert Dewa 19, Bukit Jalil Dijangka Sesak Teruk Pada 10 September

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Dihantar Ke FIFA Untuk Pencalonan Anugerah PUSKAS

TRW Kelantan Jadikan Tuntutan Kes Fitnah Sebagai Sedekah