MLS NEXT Pro hari ini mengumumkan dua peraturan pertandingan yang baharu yang akan berkuat kuasa bermula dengan perlawanan minggu ini.

Pertamanya adalah Peraturan Rawatan Luar Padang akan membolehkan permainan disambung semula dengan cepat, sambil memberikan masa kepada staf profesional perubatan untuk menilai dan merawat pemain, di luar padang permainan.

Kedua adalah melibatkan Penggantungan Kad Merah yang didakwa akan memberi manfaat yang lebih besar kepada kelab yang mengalami kekasaran yang mengakibatkan kad merah atau kad kuning kedua.

Peraturan Rawatan Luar Padang

Jika pemain disyaki mengalami kecederaan dan terbaring atas padang permainan selama lebih daripada 15 saat, kru perubatan akan datang ke padang untuk menilai pemain dan membantunya keluar dari padang.

Sebaik sahaja pemain berada di luar padang, pemain akan dirawat oleh kakitangan perubatan dan akan dikehendaki berada di luar padang selama tiga minit.

Terdapat pengecualian khusus untuk keperluan tiga minit, termasuk kemungkinan kecederaan kepala, masalah jantung atau keadaan perubatan serius yang lain.

Peraturan baharu itu juga akan memaksimumkan masa perlawanan yang berkesan dengan mengurangkan kemungkinan pemain menipu kecederaan untuk melengahkan perlawanan.

“Kami tidak sabar-sabar untuk melaksanakan Peraturan Rawatan Luar Padang, kerana kami percaya ia akan memberi kesan positif kepada permainan kami dalam pelbagai cara,” kata Ali Curtis, Naib Presiden Kanan Pertandingan & Operasi MLS NEXT Pro.

“Ia bukan sahaja membolehkan para profesional perubatan kami merawat atlet kami dalam persekitaran yang kurang tertekan, lebih terkawal, tetapi ia juga akan menangani pemain atau pasukan yang sengaja melengahkan permainan untuk mendapatkan kelebihan yang tak adil.”

“Dengan kurangnya gangguan dalam permainan, peminat yang menonton akan dapat menikmati lebih banyak aksi bola sepak dan kurang penghentian.”

Peraturan Kad Merah

Di bawah Peraturan Penggantungan Kad Merah baharu pula: Jika pemain menerima kad merah, pemain itu akan menjalani penggantungan satu perlawanan ke atas pasukan yang sama dia menerima kad merah.

Peraturan ini terpakai dalam kes kad merah atau kad kuning kedua.

Peraturan itu diwujudkan untuk memberikan lebih keadilan kepada kelab berkaitan disiplin kad merah.

Butiran penuh tentang kedua-dua peraturan disediakan dalam Garis Panduan Pertandingan MLS NEXT Pro 2022.

Kedua-dua Peraturan Rawatan Luar Padang dan Peraturan Penggantungan Kad Merah akan dilaksanakan serta-merta dan untuk tempoh musim 2022, bermula Khamis apabila Rochester New York FC menjadi tuan rumah Philadelphia Union II.

Peraturan baharu ini akan digunakan sepanjang tempoh musim 2022. Kedua-dua peraturan akan dinilai semula pada akhir musim.