Bintang bola sepak Itali, Stephan El Shaarawy melakukan kejutan apabila membuat keputusan untuk berhijrah ke Asia bagi menyertai kelab Liga Super China, Shanghai Shenhua dengan nilai perpindahan sebanyak €18m (RM83 juta) dari As Roma.

Laman twitter rasmi Shanghai Shenhua turut mengesahkan perpindahan tersebut dan pemain yang berusia 26 tahun itu akan tiba di China untuk menjalani pemeriksaan kesihatan serta menandatangani kontrak selama tiga tahun.

Malah, wakil daripada kelab china itu sempat ‘hijack’ sistem penerbangan China Eastern Airlines untuk mengesan perjalanan El Sharaawy ke Shanghai bagi menyambut ketibaan bekas pemain AC Milan itu.

Shaarawy menyertai As Roma dari AC milan dengan nilai perpindahan €14.4m (RM67 juta) pada bulan januari 2016 selepas tamat tempoh pinjaman dengan Monaco. Musim ini, beliau telah menjaringkan 11 gol dalam 28 penampilan sepanjang bersama As Roma.

Meskipun kontraknya akan berakhir pada bulan jun 2020 namun As Roma tidak berhasrat untuk melanjutkan kontraknya dan terpaksa menjual pemain itu untuk menambah kantung kewangan kelab.

Bagaimanapun, Shaarawy tetap mengingati Roma dan tidak akan lupakan kenangan bersama kelab tersebut selama tiga tahun.

“Saya amat berterima kasih kepada penyokong Roma dan juga kepada mereka yang bekerja dengan saya sepanjang kami bersama. Saya pasti akan mengingati mereka selalu,” katanya dalam Football Italia.

Perpindahan itu juga mengundang pelbagai kritikan daripada peminat bola sepak Itali yang menyifatkan ia akan menjejaskan peluang pemain itu menyarung jersi pasukan negara mereka.

Sharaawy yang mempunyai 23 kaps dengan skuad kebangsaan Itali tidak akan mengubah keputusannya dan setakat ini masih belum mendengar apa-apa kenyataan daripada pengurus skuad Azzurri, Roberto Mancini.

“Tidak, saya tidak mendengar apa-apa daripada beliau. Keputusan saya tidak berubah,” jelasnya.

Shanghai Shenhua kini berada di kedudukan ke 14 daripada 16 pasukan selepas mengumpulkan 12 mata dalam 16 perlawanan. Mereka terdesak untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan yang seterusnya bagi mengelakkan daripada tersingkir ke Liga divisyen dua musim depan.