Pemain muda negara, Shahrel Fikri yang kini beraksi dalam saingan Thai League 1 bersama Nakhon Ratchasima FC telah meluangkan masa memberikan maklum balas kepada kami apabila ditanya mengenai pengalaman beliau disana.

Beliau yang kini beraksi secara pinjaman dari PKNP FC, telah bertekad untuk berusaha dengan lebih keras demi untuk mendapatkan tempat dan muncul sebagai pemain kontrak penuh bersama kelab di Thailand itu.

Ikuti temubual eksklusif kami bersama Shahrel Fikri.

1. Boleh ceritakan sedikit bagaimana proses perpindahan dari PKNP ke Nakhon Ratchasima berlaku dan ap perasaan ketika itu?

Proses perpindahan saya ke Nakhon Ratchasima FC semuanya diuruskan oleh seorang ejen dari Singapura. Saya tidak mempunyai maklumat yang jelas sangat ketika itu.

Apabila tamat saingan suku akhir pertama di Pahang, saya terus balik ke Perak dan menyiapkan semua kelengkapan untuk berlepas ke Thailand. Ia sangat cepat berlaku.

shahrel fikri

2. 4 hari selepas diumumkan sebagai pemain baru Nakhon Ratchasima FC, Shahrel disenaraikan dalam kesebelasan utama bertemu Sukhothai FC. Adakah wujud perasaan gementar, tertekan atau teruja pada masa itu?

Perasaan saya ketika itu bercampur-baur antara teruja dan gementar. Ini adalah kerana tiada sebarang perlawanan ujian atau persahabatan yang saya pernah turun bersama Nakhon Ratchasima FC, dan pada hari tersebut saya terus disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan.

3. Adakah cara latihan yang diamalkan oleh kelab disana merupakan sesuatu yang baru bagi Shahrel?

Sememangnya banyak perkara baru bagi saya selepas bersama Nakhon Ratchasima FC. Lagipun saya beraksi untuk PKNP FC pun hanya 3 tahun sebelum ini.

4. Shahrel pernah beraksi menentang beberapa kelab terkuat Thailand seperti SCG Muangthong United, Buriram United serta True Bangkok United. Apa perbezaan paling ketara diantara samada secara fizikal, mental, teknikal atau pun taktikal dengan pasukan di Malaysia?

Ada beberapa perkara yang memang ketara perbezaan seperti corak permainan yang pantas serta agresif, dan kurang melakukan kesilapan-kesilapan apabila memegang bola.

Perkara ini adalah yang sangat berbeza berbanding dengan corak permainan di Malaysia pada pendapat saya.

36818230_1365416973589117_8049185406136090624_o

5. Dalam satu video IG live baru baru ini, Shahrel ada menyatakankan bahawa bola yang digunakan dalam saingan Thai League bergerak lebih laju. Boleh ceritakan dengan lebih lagi berkenaan perkara ini terutamanya untuk menyesuaikan diri.

Untuk pengetahun, dalam saingan Thai League menggunakan bola jenama tempatan, Grand Sport dan tidak seperti di Malaysia yang menggunakan bola dari Nike.

Saya mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan bola yang mereka gunakan pada mulanya.

Mungkin material berbeza digunakan oleh Grand Sport dan bola mereka lebih ringanĀ  serta bergerak laju.

6. Bagaimana permukaan padang di stadium kelab Thai League, adakah lebih baik berbanding Malaysia dan menyumbang kepada mutu permainan yang lebih tinggi?

Padang pasukan kelab di Thailand memang berkualiti cuma ada beberapa padang berbeza dari segi keras dan lembut sahja.

Setakat ini, bagi saya padang pasukan Muangthong United di SCG Stadium adalah yang terbaik dan sememangnya akan menyumbang kepada kualiti permainan yang bermutu tinggi.

7. Adakah pemain-pemain Thailand mempunyai fizikal yang kuat walaupun kelihatan seperti biasa sahaja? Bagaimana tahap stamina dan endurance mereka dalam perlawanan?

Pemain-pemain Thailand sebenarnya mempunyai fizikal yang biasa-biasa sahaja tetapi mereka mempunyai kemahiran teknikal yang baik dalam permainan.

Dari segi stamina dan tahap endurance mereka dalam perlawanan, mereka berada dalam kelas tersendiri yang cukup baik. Saya tidak pernah lagi melihat mereka mengalami kekejang otot.

38725304_1405121019618712_8847080524599001088_o

8. Secara keseluruhannya, majoriti pemain Malaysia takut untuk keluar beraksi diluar negara. Dengan Thailand akan membuka lebih kuota ASEAN 2019, secara peribadi apa persediaan pemain lain boleh lakukan sekiranya mahu beraksi di Thai League?

Berdasarkan dari pengalaman saya, mana-mana pemain yang ada keinginan untuk beraksi diluar negara MESTI mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang kuat samada didalam padang dan juga kehidupan diluar padang.

9. Ramai peminat Malaysia teruja dengan pemergian Shahrel ke Nakhon Ratchasima, dan tinggi harapan mereka supaya Shahrel mampu beraksi baik dan menguatkan pasukan kebangsaan. Mesej untuk semua peminat?

Untuk semua peminat yang menyokong saya, jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk saya kerana saya adalah pemain biasa sahaja.

Melihat kemampuan yang ada pada Safawi dan Akhyar, mereka jauh lebih baik dari saya. InshaAllah, saya akan berusaha dan menimba ilmu disini untuk mejadi pemain yang lebih baik dimasa akan datang serta memberikan prestasi terbaik untuk pasukan kebangsaan nanti.

38729557_1405112912952856_2756769091590029312_o

10. Harapan / mesej Shahrel untuk rakan-rakan pemain muda untuk beraksi diluar negara.

Harapan saya untuk pemain muda lain untuk beraksi diluar negara, saya mahu mereka juga mengikuti jejak langkah saya untuk beraksi diluar negara.

Banyak perkara yang perolehi apabila bermain diluar negara dan akan menjadikan kita lebih berjaya serta menyumbangkan aksi untuk pasukan kebangsaan ke tempat yang lebih baik nanti.