Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Menjelang pertemu perlawanan antarabangsa diantara Malaysia dan Bhutan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 April 2018 nanti, Vocket FC secara eksklusif berjaya menemubual kapten pasukan kebangsaan Bhutan, Karma Shedrup Tshering untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan beliau serta pasukan bola sepak Bhutan.

Mungkin masih ramai yang tidak tahu mengenai Karma, yang mempunyai profesyen sepenuh masa sebagai juruterbang bersama syarikat penerbangan nasional Bhutan, Druk Air dan beraksi bersama pasukan ligatempatan serta pasukan kebangsaan Bhutan.

17553664_10155019065877667_2710658279555253119_n

Baca temubual yang telah kami buat bersama Karma Shedrup Tshering dibawah.

VFC: Ceritakan pengalaman/karier anda sepanjang bergelar sebagai pemain bola sepak.

Karma: Saya memulakan karier bola sepak di Melbourne, Australia bersama pasukan bawah 21 tahun Whittlesea Zebras SC ketika masih berada di sekolah tinggi and menyertai latihan penerbangan disana.

Selepas menamatkan sekolah dan latihan penerbangan, saya kembali ke Bhutan dan mula bermain untuk kelab tempatan, Drukstar FC yang dimiliki oleh bapa saudara saya, Hishey Tshering. Sekarang kelab tersebut dikenali sebagai Thimpu City FC.

Penampilan pertama saya bersama pasukan kebangsaan Bhutan adalah pada tahun 2008 ketika itu saya berumur 17 tahun. Perlawanan pertama saya adalah bertemu sebuah kelab kecil dari Switzerland dan diikuti satu kejohanan di Sikkim.

VFC: Kami mendapat tahu bahawa anda adalah seorang juruterbang untuk syarikat penerbangan nasional Bhutan. Adakah ianya benar?

Karma: Ya betul. Saya adalah seorang juruterbang dan berkhidmat untuk syarikat penerbangan nasional Bhutan, Druk Air. Saya menyertai syarikat ini pada tahun 2011.

Bapa saya, Tenzing Tshering, adalah juruterbang pertama dari Bhutan dan dia juga berkhidmat bersama Druk Air.

Namun realiti yang menyedihkan di Bhutan adalah tiada karier dalam bidang sukan. Sekarang perkara ini sudah mula berubah dan sudah ramai orang yang mula melabur dalam sukan.

29748403_10156097171872667_1864423219_o

VFC: Bagaimana anda membahagikan masa diantara pekerjaan sepenuh masa sebagai juruterbang dan juga pemain bola sepak?

Karma: Menguruskan masa adalah cabaran paling besar untuk saya bagi mengimbangi pekerjaan saya sebagai juruterbang dan juga pemain bola sepak.

Saya bernasib baik tinggal di Bhutan dan bekerja bersama Druk Air kerana pihak syarikat memberikan sokongan penuh kepada saya untuk bergiat sebagai pemain bola sepak. Syarikat membenarkan saya untuk mengambil cuti ketika bertandang ke tempat lawan.

Mengenai latihan pula, saya akan bersama pasukan ketika sesi latihan disebelah malam. Tiada latihan diadakan pada waktu siang.

Kadang-kadang, ketika penerbangan mempunyai ‘layover’ yang panjang, saya akan tidak dapat menyertai latihan bersama pasukan tetapi pihak jurulatih memahami situasi saya dan saya akan cuba mengejar kembali perkara yang terlepas secepat mungkin apabila kembali ke sesi latihan.

Bagi perlawanan liga, saya biasanya akan meminta kebenaran untuk ‘off-day’ dari Druk Air Mereka tidak pernah menolak permintaan saya setakat ini.

VFC: Ada pemain lain dalam skuad kebangsaan Bhutan yang mempunyai pekerjaan harian seperti anda?

Karma: Ada beberapa pemain lain yang mempunyai pekerjaan harian seperti saya tetapi bukan dalam bidang penerbangan.

Ada ramai pemain yang bekerja di pejabat kerajaan dan ada juga diantara pemain kami adalah seorang ‘dietitian’.

29747033_10156097172062667_237549690_o

VFC: Mengapa anda memilih untuk bekerja sebagai juruterbang dan bermain bola sepak dalam satu masa yang sama?

Karma: Seperti yang saya katakan tadi, karier sebagai juruterbang adalah berpunca dari bapa saya dan perlu juga diketahui bahawa tiada masa depan untuk anda meneruskan karier sebagai pemain bola sepak profesional atau sukan lain di Bhutan.

Saya membesar dalam keluarga yang dikelilingi oleh ahli keluarga yang fanatik dalam sukan. Bapa saudara saya, merupakan sebab utama saya menceburi bidang bola sepak sejak kecil.

Bola sepak memberikan saya kegembiraan dan keseronokkan ketika bermain. Bola sepak itu indah!

VFC: Di Malaysia, ramai yang  tidak mengetahui mengenai bola sepak Bhutan. Boleh ceritakan sedikit mengenai bola sepak Bhutan?

Karma: Bola sepak di Bhutan sedang membangun dan berada dilandasan yang betul.

Kami masih lagi tidak memiliki kemudahan peralatan berkualiti serta infrastruktur yang baik, tetapi dalam 2 tahun setengah yang lalu, bola sepak Bhutan telah mengalami banyak pembangunan.

Apabila pasukan lain mendapat tahu bahawa lawan mereka adalah Bhutan, mereka merasakan kami adalah sebuah negara yang kecil dan mampu untuk membelasah kami.

Ini adalah kesalahan pertama yang mereka lakukan sebenarnya dengan memandang rendah kepada pasukan lawan.

Dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku dan dunia telah menyaksikan kami berjaya menewaskan Sri Lanka dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia yang lalu.

VFC: Bhutan akan bertemu Malaysia dalam perlawanan persahabatan pada 1 April 2018 nanti. Apa ‘expectation’ anda menjelang perlawanan tersebut?

Karma: Ini adalah kali pertama kami akan bermain menentang Malaysia. Majoriti dari pemain yang kami ada sekaranng tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia.

Secara jujurnya, kami tidak tahu apa ‘expectation’ untuk perlawanan tersebut. Sekarang, semua pemain sedang fokus kepada perlawanan bertemu Maldives.

Kami sedar bahawa Malaysia sangat jauh lebih maju berbanding Bhutan sekarang dan kami jangkakan Malaysia akan menyerang dari segenap sudut. Namun ia satu perkara yang baik dan kami teruja untuk beraksi nanti.

29633725_10156097171927667_565960260_o

VFC: Adakah anda atau pemain lain mempunyai maklumat/tahu mengenai pasukan Malaysia – pemain, gaya permainan dan sebagainya?

Karma: Secara jujurnya, kami tidak mempunyai sebarang klu mengenai bola sepak Malaysia.

Kami tidak mempunyai masa yang cukup untuk duduk bersama barisan kejurulatihan dan pemain untuk berbincang.

Zaman sekarang semuanya ada di Youtube (haha), jadi kami akan cuba mencari maklumat dari situ untuk perlawanan nanti. Namun fokus kami sekarang adalah pertemuan dengan Maldives, dan selepas itu baru kami akan memberikan tumpuan kepada Malaysia.

VFC: Adakah anda rasa Bhutan akan lebih tertekan beraksi didepan penyokong Malaysia nanti?

Karma: Ini merupakan satu peluang yang cukup besar untuk kami. Setiap kali pasukan Bhutan turun beraksi, kami sentiasa tertekan. Jadi kami sudah biasa beraksi dalam keadaan begitu, bukan satu masalah untuk kami.

VFC: Akhir sekali, mesej anda untuk penyokong bola sepak di Malaysia?

Karma: Kami sangat teruja dengan perlawanan persahabatan ini dan memberikan peluang untuk kami melawat Malaysia.

Saya berharap ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik dan penyokong akan menikmati perlawanan ini nanti. Terima kasih.

Bhutan mungkin bukan satu ancaman besar kepada skuad negara jika dinilai dari nama sahaja dan perkara yang sama seperti ketika bertemu Mongolia. Namun, realitinya kita adalah setaraf jika dinilai dari sudut ranking dunia Mongolia (189), Bhutan (188) dan Malaysia (178).

Majoriti dari mereka adalah pemain-pemain semi profesional dan mempunyai tanggungjawab lebih besar terhadap kerja hakiki berbanding bola sepak yang cuma sekadar separuh masa. Dari segi profesyen dan karier mungkin jauh berbeza tetapi jiwa bola mereka mungkin lebih besar, siapa tahu.

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group