Nama Raja Isa Raja Akram Shah mungkin agak asing dalam kalangan peminat bola sepak di Malaysia. Beliau merupakan bekas jurulatih UiTM FC yang kini berhijrah melebarkan sayapnya di Liga Indonesia.

Kali pertama tiba di negara jiran pada tahun 2007, beliau menjadi pembantu jurulatih kepada bekas pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim dalam kelab Persipura Jayapura.

Paling menarik, Raja Isa berceritakan pengalamannya di sana dan menjelaskan bagaimana beliau boleh terlibat mengendalikan beberapa kelab di Indonesia.

“Saya orang yang membawa Irfan Bakti dan Hj Abdul Rahman ke Liga Indonesia. Saya memberikan kesempatan kepada senior saya, Irfan yang waktu itu ingin keluar mencari pengalaman baru,” kata Raja Isa kepada VocketFC.

“Kebetulan, Persipura minta saya datang kerana Ivan Kolev dilantik untuk menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia. Lalu, saya berikan jawatan itu kepada senior saya, Irfan.

“Impian saya waktu itu sebenarnya ingin ke Persis Solo. Tapi batal kerana diminta bantu Irfan Bakti,” jelasnya.

Raja Isa ketika mendapat lisensi AFC Pro pada 2017 silam. (Dok. Raja Isa).
Raja Isa (kiri) ketika mendapat lesen Diploma AFC Pro pada 2017. (Dok. Raja Isa).

Raja Isa berjaya bawa Persipura ke final Copa Indonesia 2007

Kerjaya Raja Isa sebagai pembantu jurulatih di Persipura hanya bertahan selama setengah musim. Beliau kemudian dinaikkan pangkat kepada ketua jurulatih menggantikan tempat Irfan Bakti yang ketika itu mendapat tawaran menjadi jurulatih skuad Perlis.

Anak kelahiran Selangor ini berjaya membawa Persipura ke final Copa Indonesia 2007 tetapi sayangnya Persipura gagal raih gelaran juara setelah tewas melalui penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam 90 minit perlawanan kepada Sriwijaya FC.

Kemudian, beliau telah mendapat tawaran untuk melatih beberapa kelab Indonesia dari Liga divisyen 1 hingga divisyen 3.

Bermula daripada PSM Makassar, Persiram Raja Ampat, PSMS Medan, Persijap Jepara, Persekam Metro FC, Persikabo Bogor, Persesi Siantar, hingga PSPS Pekanbaru di Liga 2 pada musim 2019.

Perjalanan karier pelatih Raja Isa. (Foto: Vocketfc).
Perjalanan Raja Isa sepanjang berada dalam Liga Indonesia. (Grafik: Vocketfc).

Bola sepak Indonesia lebih gila daripada mana-mana negara di Asia

Raja Isa setakat ini telah mengunjungi semua negara di Asia Tenggara, termasuk negaranya sendiri, Malaysia. Namun, beliau tidak menemui ‘kegilaan’ bola sepak seperti yang terdapat di Indonesia.

Kelab Indonesia walaupun beraksi dalam saingan divisyen 3, masih mempunyai ribuan penyokong yang sangat fanatik.

“Saya sudah lama tinggal di Indonesia dan sudah mengunjungi semua negara di Asia Tenggara. Bagi saya, Liga Indonesia masih yang terbaik di ASEAN. Di sini, masyarakatnya memiliki kegilaan bola sepak, ibarat cinta terhadap bola sepak sudah tumbuh sejak mereka kecil,” katanya.

Bagaimanapun, Raja Isa berpendapat Liga Indonesia masih jauh ketinggalan dari segi infrastruktur seperti fasiliti kemudahan latihan dan stadium bola sepak yang bagus.

“Sudah tentu Liga Indonesia ini masih banyak kekurangan. Banyak padang latihan yang kurang bagus, juga stadium. Tapi tiada guna stadium bagus dan gaji tinggi jika tidak ada penyokong di dalam stadium,” ujarnya.

033654500_1489910030-rajaisa
FOTO: Bola.com/Robby Firly

Perbezaan Liga Malaysia dengan Liga Indonesia

Raja Isa kemudian turut menceritakan perbezaan antara Liga Indonesia dan Liga Malaysia. Beliau mengakui dari segi jumlah kehadiran penyokong, Liga Malaysia memang tidak dapat menandingi Liga Indonesia.

“Mungkin Liga Indonesia dari segi fasiliti masih kalah dengan Malaysia. Namun, di Malaysia cuma ada beberapa kelab yang perlawanannya dipenuhi penyokong.

“Luas negara Indonesia dan Malaysia memang berbeza, tapi itu tidak boleh menjadi ukuran. Jepun yang negaranya kecil, setiap perlawanan mereka tetap penuh dengan penyokong,” tambahnya.

Hampir menjadi jurulatih skuad kebangsaan Timor Leste

Pada usia 54 tahun, Raja Isa masih dahagakan pengalaman baharu dalam kerjaya kejurulatihan. Beliau kini menyasarkan untuk mengendalikan mana-mana pasukan kebangsaan setelah mendapat lesen Diploma AFC Pro sejak tahun 2017.

Malah, beliau juga sempat menjadi calon jurulatih Timor Leste pada tahun 2010 dan berharap dapat menjadi jurulatih negara itu atau Sri Lanka pada tahun 2021.

“Saya bersyukur masih bertahan dalam bola sepak Indonesia. Jika ada kesempatan, saya ingin melatih pasukan negara, mungkin negara kecil seperti Sri Lanka dan Timor Leste. Impian saya ini akan menjadi bahan ketawa orang tapi itu memang cita-cita saya,” jelasnya.

Vocket FC mengucapkan selamat maju jaya kepada Raja Isa dan semoga beroleh pelbagai kejayaan di masa yang akan datang.

Lihat artikel menarik mengenai kerjaya jurulatih di Malaysia melalui pautan dibawah.

Sewa Lesen Kejurulatihan, Cerita Dongeng Atau Realiti Dalam Bola Sepak Malaysia

9 Jurulatih Pasukan Liga Malaysia Hadiri Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC Di Jepun

Jurulatih Liga Malaysia Menuntut Ilmu Sains Sukan Di Universiti Malaya