Rentetan isu tunggakan gaji yang gagal dijelaskan oleh pengurusan Perlis FA, pemain-pemain mereka sudah mula memilih untuk angkat kaki bagi yang masih mempunyai ‘market‘, namun ramai juga yang terbiar sengsara tanpa pembelaan.

VocketFC berjaya menemubual salah seorang dari pemain Perlis FA yang sudah tidak dibayar gaji sejak bulan April 2018 dan terpaksa melakukan apa jua kerja untuk meneruskan hidup sambil berharap pihak pengurusan akan melunaskan baki tunggakan dan gaji semasa.

“Macam sekarang ni semua pemain memang dalam kesusahan, dan saya sendiri pun nak melangsungkan perkahwinan pun tak boleh lagi, memang problem dengan gaji, sekarang ni memang betul struggle nak survive dengan perbelanjaan harian.”

“Dato’ Presiden pun hanya boleh berjanji, sampai sekarang tak tunaikan apa yang dijanjikan. Terbaru, gaji tunggakan akan dibayar bermula bulan 3 ni, itu pun FAM akan potong duit geran untuk settlekan tunggakan.”

“Untuk 2 bulan ni, memang kena buat part-time kerja juga untuk sara diri, macam sekarang saya amik upah pasang banner tepi jalan, dan kadang-kadang tu buat kerja-kerja kampung.”

Apabila ditanya mengenai berapa bayaran upah yang diterima hasil kerja-kerja yang dilakukan, beliau memberitahu;

“Ya, kerja gantung banner dekat tiang tiang lampu jalan, upah tu ikut berapa banyak banner yang gantung, kadang tu RM30 ringgit, kalau banyak pun RM50 ringgit. “

“Kalau tak ada job banner, saya tolong sepupu buat kerja kampung, kadang-kadang ambil upah mesin rumput dengan wiring rumah, upah tu boleh dapat dalam RM50 ringgit. kalau tak ada job, tak ada la duit nak belanja.”

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa mereka mahu mencuba nasib dengan beberapa pasukan lain tetapi pihak pengurusan telah menawarkan kontrak baharu namun hanya janji-janji manis ditaburkan.

“Mulanya memang nak try team lain, tapi saya dapat offer sambung kontrak selama 2 tahun. Jadi awalnya dijanjikan manis dengan Dato’ tu, last-last macam ni plak jadi.”

Semalam, Malaysian Football League (MFL) telah meminta Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mengemukakan bukti dokumen kedudukan kewangan wakil dari Utara itu pada 15 Februari ini.

Perkara itu sudah dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam yang mengadakan pertemuan dengan Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie di Kuala Lumpur hari ini bagi mendapatkan gambaran sebenar kemelut yang melanda PFA.