Bagi peminat futsal tanah air, nama Bluewave Chonburi nyata bukan asing bagi mereka berbekalkan kepada prestasi hebat pernah ditampilkan kelab saingan Liga Futsal Thailand itu.

Selain dibarisi pemain-pemain berkemampuan tinggi untuk beraksi di kancah futsal antarabangsa, kelab tersebut juga cukup bertuah kerana memiliki bekas pemilik dan pengganti yang mempunyai ‘passion’ tinggi dalam meningkatkan lagi nilai komersial buat Bluewave Chonburi.

Individu dimaksudkan ialah Adisak Benjasiriwan yang telah mengambil langkah penting dalam mewujudkan Bluewave Chonburi sekali gus membuka seluas-luasnya jalan untuk kelab ini terus mengecapi kemahsyuran.

Kelab ini melahirkan ramai pemain futsal berkelas dunia. Kredit Foto: Bluewave Chonburi

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Adisak pada ketika ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai di Persatuan Bola Sepak Thailand (FA Thailand).

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Bluewave Chonburi merupakan salah satu daripada ‘lambang cinta’ yang mendalam Adisak terhadap sukan lima sebelah ini.

Ketika ditemui wakil Vocket FC yang berada di Bangkok, Thailand, Adisak turut berkesempatan berkongsikan kisah menarik mengenai penglibatannya dalam sukan futsal.

Menurut Adisak yang juga merupakan seorang Ahli Perniagaan, beliau langsung tidak pernah terfikir untuk jatuh cinta kepada futsal.

“Semuanya berlalu dengan secara tidak sengaja. Hal ini kerana saya lebih cenderung kepada bola sepak berbanding untuk terlibat dalam sukan futsal.’’

“Saya langsung tidak tahu-menahu tentang futsal tetapi pada satu ketika saya telah dilantik menjadi pengurus skuad futsal Thailand bagi menghadapi Piala Dunia Futsal 2004.’’

“Sejak dari pelantikan itu, ia telah mengubah segalanya melibatkan penerimaan saya terhadap sukan tersebut.’’

Selepas itu, pelbagai cerita menarik tentang futsal Thailand disajikan berikutan minat mendalam yang secara tiba-tiba hadir di jiwa Adisak.

Keadaan itu juga telah menjurus kepada lahirnya Bluewave Chonburi yang ditubuhkan oleh Adisak pada tahun 2006 dan secara tidak langsung, saingan Liga Futsal Thailand turut diperkenalkan hasil inisiatif beliau sendiri.

Menurut Adisak, beliau mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membangunkan saingan liga di sana tanpa sebarang tajaan diterima pada ketika itu dan edisi sulung berjaya menarik penglibatan 16 pasukan bertanding.

Kekangan kewangan tanpa penaja bukan sahaja menjadi masalah dalam penganjuran liga tetapi Bluewave Chonburi juga berdepan situasi sama kerana perkembangan futsal pada ketika itu masih agak perlahan dan sukar bagi mendapatkan tajaan.

Keadaan itu menyaksikan Adisak mengeluarkan wangnya sendiri untuk perbelanjaan pasukan dan difahamkan ia menelan belanja $1 juta setiap musim.

“Kira-kira hampir sembilan tahun saya menggunakan wang sendiri untuk perjalanan pasukan. Ketika kami menjuarai Kejohanan Futsal Kelab AFC 2013, sudah mula wang daripada penaja masuk sedikit.’’

“Memasuki 2015, ia berubah selepas saya meletakkan jawatan sebagai Presiden Bluewave Chonburi bagu memberikan lebih fokus kepada FA Thailand, anak saya (Tachapat Benjasiriwan) mengambil tanggungjawab menyambung tugasan ini dan ternyata dia lebih bijak untuk mendapatkan penaja.’’

Tachapat meneruskan legasi hebat Adisak. Kredit Foto: Bluewave Chonburi

“Selain daripada sumber kewangan dan kerja keras, semua pihak perlu bersabar kerana untuk melihat sesuatu perkara berjalan seperti diharapkan semenangnya amat memerlukan masa.’’

Lebih menarik untuk diperkatakan, Bluewave Chonburi ketika di bawah ‘pemerintahan’ Adisak telah berjaya memenangi Kejohanan Futsal Kelab AFC 2013 manakala berselang empat tahun kemudian, Tachapat pula menikmati kejayaan sama.

Satu transisi pengurusan tertinggi kelab yang nyata cukup berkesan, malah Adisak sendiri mengakui anaknya menjalankan tugasan dengan baik terutamanya dalam meningkatkan nilai komersial buat Bluewave Chonburi.