Pemain import pasukan Terengganu FC II, Bruno Suzuki Castenheira, dilahirkan di Castanhal,Para, Brazil dalam satu keluarga kacukan Brazil disebelah bapa dan Jepun disebelah ibunya.

Musim 2018 merupakan musim kedua beliau beraksi dalam Liga Malaysia selepas bersama dengan pasukan Negeri Sembilan pada 2017.

VocketFC berpeluang untuk mendekati pemain ini di Kuala Terengganu dalam satu temubual eksklusif mengenai perjalanan karier bola sepak beliau sehingga berada bersama pasukan Terengganu FC II musim ini.

5 Perkara Mengenai Bruno Suzuki Castanheira

Bruno telah berkongsi pelbagai cerita perjalanan karier kepada VocketFC, dan kami menyenaraikan 5 perkara yang menarik pernah beliau hadapi sepanjang bergelar pemain profesional selama 10 tahun dibeberapa negara.

1) Berhijrah Ke Jepun Pada Usia 6 Tahun

Memulakan sesi, Bruno memberitahu bahawa kedua ibu bapanya telah membuat keputusan mencuba untuk tinggal di Jepun selama beberapa tahun, selepas lama menetap di Brazil.

Pada usia 6 tahun, mereka kembali ke Jepun, cuba memulakan hidup baru di Osaka. Sejak dari detik itu, mereka sekeluarga memilih untuk tinggal di Jepun dan Bruno memulakan zaman persekolahannya di Osaka sehingga dewasa.

2) Beraksi Untuk Remaja Gamba Osaka

Selepas beraksi bersama sebuah pasukan sekolah menengah rendah di Osaka, Tsuchiyama Junior High School, Bruno telah berjaya memikat barisan kejurulatihan skuad remaja Gamba Osaka dan telah bersama skuad itu selama 3 tahun.

IMG_20180130_095856_564

Semasa bersama pasukan itu, beliau pernah beraksi bersama dengan Shu Kurata yang kini adalah pemain utama skuad Gamba Osaka serta Takashi Usami yang kini beraksi dengan Fortune Dusseldorf, dipinjam dari FC Augsburg.

Menurut Bruno, beliau cukup mengagumi Usami kerana pemain ini memiliki kemahiran teknikal yang cukup tinggi sehingga mampu memecah masuk ke skuad U18 Gamba Osaka ketika berumur 14 tahun lagi.

3) Pernah Dipanggil Menyertai Skuad U17 Jepun

Semasa beraksi bersama skuad remaja Osaka, ketua jurulatih pasukan kebangsaan Jepun U17, Jofuku Hiroshi menelefon Bruno secara terus untuk menyertai skuad kendalian beliau.

Tetapi ada 1 permintaan yang perlu dipenuhi oleh Bruno pada ketika itu untuk menerima tawaran menyertai skuad U17 Jepun.

4443

Seperti yang dijelaskan kepada VocketFC, beliau pada ketika itu masih lagi memegang pasport Brazil dan bagi menyertai skuad itu, Bruno perlu memiliki pasport Jepun. Pada ketika itu, Bruno masih belum bersedia untuk melepaskan taraf kewarganegaraan Brazil yang dimilikinya, lalu menolak tawaran dan tidak menyertai skuad U17 Jepun.

Bruno menjelaskan bahawa jika dia menukar warga negaranya dan menyertai skuad U17 Jepun ketika itu, perjalanan kariernya mungkin lebih baik berbanding sekarang.

4) Pernah Menerima Gaji RM2,000 Selepas 6 Tahun Bermain Secara Pro

Setiap pemain bola sepak profesional pasti ada kisah pasang surut sepanjang karier mereka.

Ketika bercerita mengenai kesukaran perjalanan karier bola sepaknya, Bruno sempat memberitahu bahawa dia pernah menerima gaji bersih sekitar SGD600 ketika beraksi di Singapura.

IMG_20180130_095942_462

Ini merupakan salah satu detik yang rendah dalam perjalanan 10 tahun karier sebagai pemain profesional, tetapi beliau memberitahu walaupun begitu keadaannya, dia masih lagi berusaha keras untuk memperbaiki prestasi permainan dengan harapan ada pasukan yang memberikan tawaran yang lebih baik.

Dan perkara itu betul-betul berlaku kepadanya selepas setahun kemudian. Sebuah kelab lain di Singapura bersetuju untuk menawarkan kontrak hampir 10 kali ganda dari pasukan sebelumnya dan beliau menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

5) Tukar Warganegara Untuk Sertai Albirex Niigata

Ketika ditanya bila beliau membuat keputusan untuk menukar warganegara, Bruno menceritakan perkara ini berlaku apabila beliau ‘graduate’ dari skuad remaja Gamba Osaka.

Pada waktu itu, beliau telah menerima kontrak profesional pertamanya dari sebuah kelab J1 League, Albirex Niigata.

Oleh sebab kuota pemain import sesebuah kelab Jepun bakal digunakan sepenuhnya oleh pemain yang tidak ada pelung untuk ditukar status kepada pemain tempatan, Bruno bersetuju untuk melepaskan pasport Brazil untuk memiliki pasport Jepun, seterusnya didaftarkan sebagai pemain tempatan pada usia 19 tahun.

Mungkin kisah tidak menyertai skuad U17 Jepun dulu menjadi panduan untuk beliau berusaha mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan suatu hari nanti jelasnya.

4 tahun kontrak bersama Albirex Niigata, Bruno pernah beraksi bersama penjaga gol utama skuad Gamba Osaka sekarang, Masaaki Higashiguchi.

Memilih Untuk Bersama Terengganu FC II Untuk Musim 2018

Untuk musim 2018 ini, Bruno telah memilih untuk beraksi dengan pasukan Terengganu FC II dalam saingan 100PLUS Liga Premier.

Walaupun masih kekal beraksi dalam saingan divisyen 2 Malaysia, Bruno cukup optimis akan diserap masuk ke dalam skuad utama pasukan Terengganu jika berjaya membuktikan kualiti dan prestasi permainan beliau bersama Terengganu FC II.

Misi utama beliau sekarang adalah untuk menyerlah dalam musim 2018, membuktikan beliau masih mempunyai naluri dan sentuhan gol serta mahu beraksi dalam saingan Liga Super Malaysia suatu hari nanti.