Pemain tengah pasukan kebangsaan Thailand, Ekanit Panya ketika ini menjadi sebutan kerana persembahan cemerlang beliau dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 khususnya pada perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lalu.

Baru-baru ini, ketika ditemu bual oleh Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Panya mendedahkan beliau mengidolakan legenda Barcelona, Andres Iniesta kerana pemain yang ketika ini beraksi di Jepun bersama Viseel Kobe itu beraksi di posisi sama seperti Panya iaitu pemain tengah menyerang.

“Saya gembira dengan sumbangan saya terhadap kemenangan pasukan ke atas UAE. Jaringan tersebut merupakan gol pertama saya bersama pasukan kebangsaan. Kami tidak menang ke atas UAE selam 15 tahun dan kemenangan yang diraih amat bermakna.

Ekanit
Ekanit Panya

“Andres Iniesta merupakan idola saya kerana saya gemar cara beliau menggerakkan permainan dan beliau turut beraksi di posisi sama seperti saya. Setiap hari saya berlatih bersungguh-sungguh dan kemudiannya saya akan menonton video Iniesta serta pemain lain supaya saya boleh belajar untuk meningkatkan kebolehan saya.

“Pentas kelayakan Piala Dunia merupakan sesuatu yang amat penting. Saya mempunyai peluang untuk menampilkan kemampuan saya dan membantu pasukan negara. Satu penghargaan dan juga pengalaman yang sangat bermakna untuk saya,” kata Ekanit.

Ketika ditanya mengenai perlawanan menentang Malaysia pada 14 November ini, pemain Chiangrai United itu mengakui skuad Harimau Malaya bakal mempunyai sokongan padu daripada peminat dan itu boleh menyukarkan usaha Thailand untuk membawa pulang tiga mata.

Chiangrai United
Sumber Gambar: picdeer.org

“Kami sedar Bukit Jalil merupakan satu venue yang sukar. Malaysia mempunyai sokongan padu daripada peminat dan mereka akan memanfaatkan peluang itu. Kami perlu fokus dan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.

“Saya berpendapat kami mempunyai peluang yang baik untuk mara ke pusingan seterusnya. Tetapi kami akan menghadapi perlawanan sukar pada masa akan datang. Di peringkat ini kami tidak boleh membuat kesilapam,” tambah Ekanit.

Setelah menghadapi Malaysia, Thailand akan bertandang ke Hanoi untuk menghadapi Vietnam pada 19 November ini.

Baca artikel lain mengenai Ekanit Panya di sini:

Chiangrai United Hanya Akan Lepaskan Ekanit Panya Ke Pasukan Luar Negara

President Kelab Chiangrai United Dedahkan Terima Banyak Tawaran Dari Kelab J.League Untuk Ekanit Panya