Nama Sofyan Amrabat jelas mencuri tumpuan dalam kempen Piala Dunia 2022 di Qatar selepas pemain berusia 26 tahun itu beraksi cemerlang mengemudi jentera tengah Maghribi.

Daripada sebuah pasukan yang langsung tidak diberikan harapan pada awalnya, Maghribi mencipta kejutan dengan lolos ke separuh akhir susulan aksi penuh disiplin dipamerkan barisan pemain termasuklah sumbangan berkesan Amrabat.

Menjadi lumrah pemain yang menyinar dalam saingan Piala Dunia akan menarik minat kelab ternama Eropah, Amrabat juga dikatakan menjadi buruan Liverpool dan Tottenham Hotspur.

Namun begitu, ejen Sofyan Amrabat, Alberto Maria Fontana menegaskan bahawa beliau yang kini beraksi bersama Fiorentina tidak berhasrat untuk berhijrah ke pasukan lain dan ingin terus menunjukkan komitmen kepada kelab Serie A itu.

“Fiorentina pada ketika ini sedang menikmati kualiti yang dimilikinya, memandangkan pada musim lalu tempatnya lebih banyak diambil oleh Lucas Torreira,” ujar Fontana menurut laporan Goal.

“Kami menerima banyak panggilan berkaitan dengannya tetapi kami menghormati keputusan yang dilakukan oleh Fiorentina. Mereka memilih untuk memberikan kepercayaan kepadanya [Amrabat] dan tidak menebus kontrak Torreira, walaupun sekiranya mereka boleh bermain bersama.”

“Ia merupakan panggilan yang bagus tetapi kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Fiorentina, sebagai tambahan kepada kontrak panjang yang mengikatnya dengan Viola.”

“Walaupun bermain dalam pertandingan Eropah yang lebih rendah [merujuk kepada Europa Conference League], mereka adalah sebuah pasukan yang dihormati,” tambah Fontana lagi.

 

 

 

Sumber