Ejen yang berpangkalan di luar negara dikhabarkan sedang mengintai khidmat pemain sayap pasukan negara dan Terengganu yang sedang meningkat naik ketika ini iaitu Faisal Halim.

Seorang ejen tempatan yang dikenali sebagai Joe Berbatov yang menguruskan Estrada Sports Agency mendedahkan di laman media sosial Twitter beliau mendapat panggilan dari dua ejen luar negara mengenai Faisal.

Faisal menampilkan prestasi yang baik bersama Terengganu dalam saingan Liga Malaysia musim ini sekaligus mendapat perhatian ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang memanggilnya untuk beraksi dalam dua aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan baru-baru ini.

Faisal diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan menentang Jordan dan Uzbekistan dan beliau menjadi salah satu pemain terbaik negara dalam dua perlawanan tersebut.

Menurut laporan La Bola Malaya, Joe Berbatov menegaskan tiada sebarang tawaran rasmi yang diberikan oleh dua ejen yang dimaksudkan.

Mereka hanya mahu mengetahui kedudukan semasa Faisal Halim bersama kelab semasa, Terengganu seperti gaji yang diterima, kontrak selain klausa yang terdapat dalam kontrak pemain berusia 23 tahun itu.

Tambah Joe, selain Faisal terdapat juga ejen yang bertanya tentang situasi semasa pemain muda Selangor, Mukhairi Ajmal yang turut dipanggil bagi menghadapi dua aksi persahabatan baru-baru ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan dan saingan Liga Malaysia di sini:

Safee Sali Idam Julang Piala Malaysia Buat Kali Pertama

Uzbekistan Terlalu Ampuh Buat Skuad Negara

Amirul Azhan: Perak Perlu Perbaiki Ketajaman Jentera Serangan