Tiada sebarang tawaran rasmi bagi mendapatkan khidmat pemain sayap Terengganu, Faisal Halim pada jendela perpindahan kedua saingan Liga Malaysia musim 2022 dibuka ketika ini.

Perkara ini dikongsikan oleh salah seorang ejen iaitu Joe Berbatov di laman media sosial Twitter miliknya dimana selain tiada tawaran rasmi dari mana-mana pasukan, pemain berusia 24 tahun itu juga semakin hampir untuk menandatangani kontrak lanjutan.

Setelah menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia sejak dua musim kebelakangan ini, ramai pasukan khususnya pasukan besar dalam liga mahu mendapatkan khidmat pemain yang turut dipanggil Mickey itu.

Musim ini, antara pasukan yang dikaitkan dengan Faisal ialah Selangor terutamanya setelah mereka meminjamkan Nik Sharif Haseefy ke kelab Pantai Timur itu sehingga saingan musim 2022 tamat.

Ramai yang menganggap Selangor meminjamkan Nik Sharif ke Terengganu sebagai usaha mereka untuk memancing agar kelab tersebut melepaskan Faisal bagi menyertai Selangor musim hadapan.

Selain Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) juga dikaitkan dengan Faisal Halim setelah kelab itu mahu membawa empat pemain baharu pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Pengarah Teknikal kelab, Alistair Edwards mendedahkan pasukannya akan menandatangani empat pemain baharu untuk menambah kekuatan skuad pada jendela perpindahan pertengahan musim.

Perkembangan tersebut turut disahkan oleh pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkata pasukan berkenaan sudahpun mendapatkan khidmat empat pemain itu.

“Selesai tugas menandatangani dua pemain import dan dua pemain tempatan. Kelab berada dalam keadaan baik dan negeri ‘under control’.Lebih banyak peningkatan dalam berapa bulan mendatang untuk kedua-duanya,” katanya menerusi hantaran di instagram beliau.

Baru-baru ini, Faisal menjaringkan satu gol ketika pasukan negara turun berdepan Brunei dalam satu aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Perlawanan Persahabatan: Giliran Hong Kong Jadi Mangsa Skuad Negara

Kobe Chong Tiba Di Malaysia, Bakal Sertai Kelab Tempatan?

CEO Selangor Nafi Hubungi Jordan Mintah, Bakal Buat Laporan Polis