Ejen kepada bekas ketua jurulatih TRW Kelantan, Choi Min-sik iaitu Jeong Myeongho berikrar akan terus mendedahkan perkara sebenar mengenai apa yang dilalui oleh jurulatihnya ketika bersama kelab dari Pantai Timur itu.

Menerusi perkongsian di laman media sosial Instagram baru-baru ini, Jeong mendedahkan pihaknya sedang mempersiapkan segala dokumen yang diperlukan untuk membuat aduan ke badan bola sepak dunia iaitu FIFA.

Choi Min-sik
Sumber Gambar: Instagram Jeong Myeongho

“Tiada lagi persoalan. Laporan FIFA akan menyusul. Kami tidak akan berhenti. Saya akan mendedahkan perkara sebenar. Tunggu saja,” katanya.

Sebelum ini, Jeong terus membuat pendedahan mengenai pelbagai isu dalaman melibatkan padang latihan, kebajikan serta pemakanan para pemain pada hari perlawanan.

Ia termasuklah gambar Choi Moon-sik sedang memenuhkan air di dalam kereta sorong dengan kapsyen,” jurulatih saya perlu menjaga rumput setiap hari? Bukankah anda menandatangi kontrak jurulatih saya kepada pasukan anda untuk bola sepak.”

Selain itu, Jeong turut mendedahkan bahawa pemain dan jurulatih selalu menerima makian di dalam bilik persalinan.

“Setiap minggu, majikan dan pengarahnya akan terlibat dalam sesi pemilihan pemain untuk setiap perlawanan. Minggu lalu, jurulatih saya tidak memilih pemain pun. Para pemain enggan berlatih kerana sudah dua bulan tidak dibayar gaji. Majikan mengugut pemain agar berlatih. Tetapi gaji tidak dibayar.

“Semua orang tak boleh bercakap apa-apa tetapi saya ejen yang sanggup berkorban demi pemain dan jurulatih. Min-sik ialah jurulatih legenda di Korea. Bos selalu mencampak topi dan membaling air dan selalu memberitahu Min-sik agar pulang ke Korea kalau Kelantan kalah,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Jeong mahu TRW Kelantan agar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Choi Min-sik setelah apa yang dilakukan terhadap jurulatih itu.

“Saya orang Korea yang mahu membantu bola sepak Malaysia. Saya ucapkan terima kasih kepada peminat Kelantan dan akan terus membuat pendedahan mengenai pasukan ini.

“Satu perkara yang saya mahu katakan. Ini pesanan untuk bos Kelantan. Apa yang kamu katakan tidak selalu betul. Sebelum perkara serius berlaku ke atas pasukan kamu, lebih baik kamu minta maaf kepada jurulatih saya,” tambah Jeong.