Khidmat pemain Jepun terus ditagih oleh kelab-kelab di sekitar Eropah apabila penjaga gol skuad kebangsaan Jepun, Eiji Kawashima menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab Ligue 1 Perancis, RC Strasbourg Alsace. Perkara ini disahkan oleh pihak kelab menerusi satu pengumuman di media sosial.

Eiji menjadi sebahagian daripada sebilangan pemain Jepun yang beraksi di Eropah sejak 2010 dimana beliau telah bermain di beberapa negara seperti Belgium, Scotland dan Perancis. Setelah menampilkan persembahan cemerlang dalam temasya Piala Dunia 2010, Eiji berhijrah ke Belgium dengan menyertai Lierse S.K, tiga musim selepas beraksi bersama Kawaski Frontale.

Bersama Lierse, Kawashima menandatangani kontrak selama dua tahun dan beliau terus menjadi pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama. Aksi cemerlang penjaga gol berusia 36 tahun ini menjadikan beliau pemain terbaik kelab bagi saingan musim 2010-2011.

Eiji Kawashima Lierse

Musim berikutnya, Kawashima terus menjadi pilihan utama dan bukan hanya mendapat tempat sebagai penjaga gol nombor satu, beliau turut diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan. Setelah dua musim cemerlang bersama Lierse, Kawashima berhijrah dengan menyertai Standard Liège.

Bersama Standard Liège, pemain kelahiran Saitama ini meneruskan prestasi cemerlang dimana beliau kekal menjadi pilihan utama untuk menjaga pintu gol pasukan. Kawashima beraksi sebanyak 3 musim sebelum memutuskan untuk berhijrah ke Scotland kerana kehilangan tempat dalam kesebelasan utama kepada Thuram-Ulien pada musim terakhirnya bersama Liege.

Eiji Kawashima menyertai Dundee United dimana beliau beraksi dalam 16 perlawanan pada musim 2015/2016. Setelah Dundee United tersingkir dari saingan Scottish Premiership, kelab tersebut memutuskan untuk melepaskan Eiji dan pemain tersebut berhijrah ke Perancis dengan menyertai Metz.

Eiji Kawashima Dundee Utd

Bersama Metz, Kawashima beraksi dalam 35 perlawanan selama dua musim bersama kelab tersebut. Prestasi cemerlang yang ditampilkan penjaga gol ini ketika beraksi bersama Metz membolehkan beliau kembali dipanggil untuk mewakili pasukan kebangsaan Jepun. Akan tetapi, Metz mengambil keputusan untuk melepaskan Kawashima meskipun beliau memperagakan aksi yang baik.

Pada awal musim 2018/2019, Kawashima menandatangani kontrak selama setahun bersama RC Strasbourg. Kelab tersebut kemudiannya memutuskan untuk memberikan lanjutan kontrak dimana Eiji akan kekal bersama kelab sehingga 2021.

Selain mempunyai karier yang baik di peringkat kelab, Kawashima juga mempunyai pencapaian cemerlang bersama pasukan kebangsaan Jepun dimana beliau pernah beraksi dalam tiga temasya Piala Dunia dan memenangi Piala Asia pada 2011.