Penjaga gol Manchester City, Ederson Moraes mengakui foto yang tular melibatkannya ketika aksi bertemu Manchester United tempoh hari merupakan perkara kebiasaan dilakukan beliau ketika perlawanan.

Ederson dikatakan ‘menganjing’ musuh setempat mereka itu dengan aksi mencangkung sementara menantikan sepakan percuma diambil oleh pemain Manchester City.

Bagaimanapun, penjaga gol kelahiran Brazil itu menganggap apa yang telah dilakukannya itu bukanlah perkara pelik kerana pengendali pasukan, Pep Guardiola seringkali memintanya untuk keluar daripada posisinya untuk sedikit ke atas ketika situasi bola mati.

Seperti diketahui ramai, Ederson merupakan antara penjaga gol yang cukup mahir dengan peranan ‘sweeper goalkeeper’ selain daripada Manuel Neuer dimana kemahiran mengawal bola merupakan aset bernilai buat mereka.

Kredit Foto: Twitter

“Saya sudah melihat gambar itu selepas perlawanan. Saya sendiri pernah berada di posisi itu beberapa kali, rasanya ketika sepakan sudut atau lontaran ke dalam. Saya selalu berusaha untuk naik ke atas bagi menutup ruang buat pasukan lawan melakukan serangan balas.”

“Itu adalah sesuatu yang seringkali saya lakukan dalam perlawanan dan kadang-kadang orang tidak begitu menyedarinya. Mungkin kerana itu adalah perlawanan derbi [Manchester], jadi orang lebih ramai memerhatikannya.”

“Memang begitulah cara saya bermain, Pep [Guardiola] meminta saya untuk bermain dengan lebih tinggi dan adakalanya saya lebih banyak bermain dengan kaki berbanding tangan [menangkap bola], tetapi anda harus bersedia untuk menghadapinya.”

“Kadang-kadang keadaan itu boleh menjadi serangan balas pantas buat pasukan kami sekiranya terdapat pilihan hantaran yang baik. Itu perkara biasa dan sesuatu yang kami tangani dengan sangat baik,” ujar Ederson menurut laporan Goal.

Sumber