Senegal berjaya melangkah ke pusingan 16 Piala Dunia 2022 selepas menundukkan Ecuador 2-1 pada aksi terakhir kumpulan A yang berlangsung di Khalifa International Stadium, Qatar sebentar tadi.

Sedar hanya kemenangan akan membantu mereka untuk meneruskan kemaraan, barisan pemain Senegal beraksi dengan lebih tersusun dalam usaha mendapatkan jaringan.

Ia jelas dibuktikan apabila skuad kendalian Aliou Cisse itu lebih banyak mengancam kubu Ecuador terutamanya menerusi kelincahan Ismaila Sarr.

Dua percubaan awal yang diperolehi menerusi Idrissa Gueye dan Boulaye Dia sekadar tersasar di sisi pintu gol lawan walaupun ruang yang cukup besar dimiliki bagi menjelmakan jaringan.

Percubaan Sarr pada minit ke-24 juga tidak menemui sasaran yang diharapkan selepas rembatannya membias terkena pertahanan.

Kehampaan itu ditebus Sarr pada minit ke-44 apabila beliau dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Senegal dihadapan.

Sepakan tersebut dihadiahkan pengadil perlawanan, Clement Turpin dari Perancis selepas pemain pertahanan, Piero Hincapie melakukan kekasaran terhadap Sarr dalam kawasan penalti.

Ecuador yang hanya memerlukan satu mata untuk mara ke pusingan kalah mati berjaya menyamakan kedudukan menerusi Moises Caicedo setelah beliau mudah menolak masuk bola hasil tandukan Felix Torres susulan situasi sepakan penjuru.

Kegembiraan skuad kendalian Gustavo Alfaro itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama tiga minit apabila Kalidou Koulibaly yang tidak dikawal dalam kawasan penalti ketika situasi kelam-kabut mengambil peluang tersebut untuk melakukan percubaan menewaskan penjaga gol, Hernan Galindez.

Jaringan itu kekal hingga tamat permainan untuk membawa Senegal ke pusingan 16 sekali gus mengiringi juara kumpulan, Belanda yang mencatatkan kemenangan ke atas Qatar 2-0 manakala Ecuador terpaksa pulang hampa.

Menanti Senegal di pusingan 16 ialah juara kumpulan B yang terdiri daripada England, Iran, Amerika Syarikat dan Wales dimana keempat-empat pasukan masih berpeluang untuk layak.

Pencapaian terbaik buat Senegal dalam sejarah Piala Dunia ialah layak ke suku akhir pada edisi 2002 di Korea Selatan dan Jepun.