Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal membuat pengumuman rasmi esok mengenai barisan pembantu jurulatih kepada pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Isu mengenai pembantu kepada Kim Pan-gon ini hangat diperkatakan selepas bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong itu dilantik bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletak jawatan ekoran prestasi hambar pasukan negara dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020.

Walaupun mempunyai pembantu jurulatih dari Sepanyol, Pau Marti Vicente, namun Kim Pan-gon memerlukan khidmat pembantu jurulatih dari Malaysia untuk membantunya mengenali pemain tempatan serta budaya bola sepak negara.

Antara nama-nama jurulatih tempatan yang dikaitkan dengan jawatan itu sejak minggu lepas ialah Zainal Abidin Hassan, Nafuzi Zain, Nidzam Jamil, Manzoor Azwira dan Firdaus Aziz Tan.

Namun begitu, sumber daripada Harian Metro mendedahkan Ketua Jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan adalah calon paling layak dan bakal dipilih sebagai pembantu jurulatih Harimau Malaya.

Katanya, pemilihan Elavarasan itu berikutan kecekapan komunikasi beliau sekali gus memudahkan penyampaian arahan Pan-gon kepada barisan pemain kelak.

“Perkara utama adalah komunikasi kerana perkara itu penting supaya mudah untuk pembantu jurulatih itu menyampaikan perkara tertentu kepada pemain atau menerangkan situasi terkini kepada Pan-gon.

“Jika melihat situasi sekarang, Elavarasan paling layak dan namanya setakat ini disebut sebagai pembantu kepada Pan-gon,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Jurulatih tempatan yang dilantik juga perlu membantu Pan-gon memanggil pemain terbaik yang akan membawa cabaran negara dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada Jun ini.

Selain Pau Marti dan Elavarasan, Pan-gon turut dibantu oleh Cho Jun Ho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis).

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

FAM Sudah Hantar Permohonan Rasmi Bida Hak Tuan Rumah Kelayakan Piala Asia 2023

Piala AFF B-23: Empat Tonggak Utama Dipanggil Perkuat Benteng Pertahanan Malaysia

Piala AFF B-23: Wan Kuzri Tak Jadi Sertai Skuad Malaysia

Datuk Hamidin Jelaskan Sebab Sebenar Sumareh Tolak Panggilan Ke Skuad Kebangsaan

Kim Pan-gon Mula Tugas Latih Harimau Malaya Pada Bulan Mac 2022