Ketua jurulatih Sarawak United, E.Elavarasan menganggap pengadil aksi Liga Premier antara pasukannya menentang Negeri Sembilan semalam, Mohamad Kamil Zakaria gagal untuk mengawal perlawanan dengan baik.

Elavarasan mempersoalkan tindakan Kamil yang membenarkan jaringan Francis Kone pada minit-minit akhir permainan sedangkan pemain itu mengasari pemain pertahanan Sarawak iaitu Badrul Affendi.

“Sebelum perlawanan kami ada bercakap dengan penyelaras pengadil. Perlawanan seperti ini perlukan seorang yang mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk mengawal aksi besar seperti malam ini (semalam).

“Saya rasa dari segi mengawal permainan, ia tidak begitu baik. Kami boleh terima penjaga gol dilayangkan kad merah. Tetapi adakah itu situasi dimana pemain lawan boleh membuat jaringan?

“Saya rasa untuk jaringan pada minit-minit akhir itu, pengadil perlu lebih teliti. Kerana pada minit akhir, macam-macam boleh berlaku. Kita tidak boleh mengubah keputusan.

“Sepatutnya gol tidak boleh diberikan kerana kekasaran yang berlaku. Tetapi pengadil memberikan gol tersebut. Mana logiknya? Sebab itu pemain marah dan kita tidak berpuas hati.

“Bagi saya untuk aksi sebegini, kita perlukam pengadil berpengalaman yang tahu bagaimana nak mengawal permainan,” kata E.Elavarasan.

Jurulatih berusia 56 tahun itu menambah insiden pemainnya menolak pengadil selepas wisel penamat dibunyikan adalah berpunca daripada kegagalan Kamil Zakaria untuk mengawal permainan.

“Bila pengadil tak tahu bagaimana nak mengawal permainan dan situasi dari awal, itu yang terjadi. Untuk perlawanan seperti ini, apabila pengadil tidak cukup pengalaman, maka ia akan menjadi masalah. Kita tidak boleh menyalahkan pemain sekiranya insiden seperti itu berlaku,” tambahnya.

Elavarasan turut menegaskan pihak kelab akan mengemukakan aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai mutu pengadilan.

Kemenangan Negeri Sembilan ke atas Sarawak United membolehkan skuad bimbingan K.Devan untuk memintas Sarawak sekaligus menjadi pendahulu sementara saingan Liga Premier.

Pada aksi terakhir, Negeri Sembilan akan turun menentang PDRM manakala Sarawak United akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) II.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Insiden Pergaduhan Cemari Perlawanan Sarawak United Menentang Negeri Sembilan

RASMI: Ong Kim Swee Letak Jawatan Pengarah Teknikal FAM, Bakal Kemudi Pasukan Sabah FC

Perak Mahu Ucap ‘Selamat Tinggal Liga Super’ Dengan Kemenangan