Tugas sukar sedang menanti skuad Harimau Malaya apabila mereka dijadualkan bertemu Indonesia pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2020 tanpa kelibat dua tonggak pertahanan tengah, Aidil Zafuan dan Shahrul Saad.

Menurut kenyataan rasmi, Aidil dan Shahrul disahkan tidak dapat beraksi kerana mendapat kecederaan hamstring sehingga terpaksa dikeluarkan ketika perlawanan menentang Vietnam kelmarin.

“Doktor dan fisioterapis pasukan akan terus memantau tahap kecederaan kedua-dua pemain ini dari semasa ke semasa sebelum kita membuat penilaian sama ada mereka sempat atau tidak untuk pulih menjelang perlawanan menentang Indonesia nanti,” kata Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Bagi mengisi kekosongan di posisi itu, Dominic Tan dan pemain yang berpengkalan dari luar negara, Dion Cools menjadi taruhan Cheng Hoe untuk membantu memperkuatkan benteng pertahanan pasukan.

“Bagi posisi pertahanan tengah ini, kita masih memiliki Dominic Tan yang bebas daripada sebarang kecederaan manakala Junior Eldstal masih dalam proses pemulihan kecederaan otot di bahagian abdomen.

“Namun, kita bakal memiliki Dion Cools yang dijangka tiba di Singapura pada Khamis ini (16 Disember 2021) untuk mengisi posisi pertahanan tengah ini andai Aidil dan Shahrul tidak sempat pulih menjelang perlawanan Ahad nanti.

“Tiada tempoh kuarantin terhadap Cools dan kami mengharapkan dia berada dalam keadaan cergas sepenuhnya walaupun ada perbezaan dari segi cuaca dan masa. Kami percayaa dia (Cools) sudah bersedia sepenuhnya untuk membantu pasukan selain pernah beraksi pada Jun 2021 pada aksi persahabatan di Dubai sebelum ini,” jelas Cheng Hoe.

Para peminat bola sepak tempatan juga boleh menarik nafas lega apabila 3 pemain yang diuji positif COVID-19 sebelum ini, sudah habis tempoh kuarantin dan kini kembali menyertai sesi latihan pasukan.

3 pemain tersebut ialah penjaga gol, Khairul Azhan, pemain sayap, Faisal Halim dan Quentin Cheng yang beraksi di posisi pertahanan kanan.

Ketiga-tiga pemain tersebut telah mendapat surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Singapura, semalam selepas Khairulazhan dan Faisal selesai menjalani tempoh 10 hari Perintah Pengasingan (Isolation Order) manakala Quentin pula diberi pelepasan awal selepas tempoh tujuh hari Perintah Pengasingan berdasarkan keputusan ujian PCR yang dijalankan.

“Ketiga- tiga pemain ini telah memulakan aktiviti bersama pasukan dengan aktiviti pertama ialah di gimnasium ini memandangkan hari ini merupakan hari recovery selepas kita beraksi menentang Vietnam, malam tadi. Mereka selepas ini akan dapat turut kembali menyertai sesi latihan penuh kita di padang bagi persiapan menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Indonesia pada Ahad, 19 Disember 2021.

“Bagaimanapun, seorang lagi pemain yang diuji positif COVID-19 sebelum ini iaitu Akhyar Rashid masih perlu melengkapkan tempoh 10 hari Perintah Pengasingan dan hanya akan kembali menyertai pasukan selepas tamat tempoh berkenaan,” kata Cheng Hoe.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan lain dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 melalui pautan dibawah. 

VFF ‘Tabur’ Duit Bonus Kemenangan RM181,000 Selepas Berjaya Tumbangkan Malaysia

‘Tahi Judi’ Ini Bengang Malaysia Menang Besar, Dakwa Laos Jual Perlawanan Di Singapura

Piala AFF 2020: Indonesia Pamer Aksi Bertenaga Tundukkan Kemboja