Kekecohan penyokong Indonesia pada pertembungan antara tuan rumah menentang Malaysia dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nyata memakan korban apabila dua penyokong Malaysia mengalami kecederaan.

Menurut laporan Berita Harian, salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Izhar Atan mengalami kecederaan patah tangan dipercayai akibat terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri ketika penonton tuan rumah menyerang penyokong Malaysia pada separuh masa kedua.

Seorang lagi mangsa yang masih belum diketahui identitinya mengalami kecederaan luka di kepala dan belakang akibat terkena objek yang dibaling oleh penyokong tuan rumah. Mangsa bagaimanapun dikatakan hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Berpunca daripada kekecohan yang berlaku, bukan sahaja perlawanan terpaksa dihentikan selama 8 minit pada separuh masa kedua bahkan ratusan penyokong Malaysia yang hadir hanya dibenarkan keluar dari stadium kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi.

Petugas keselamatan tidak mahu mengambil risiko dengan melepaskan penyokong Malaysia terlalu awal dimana mereka menunggu sehingga keadaan terkawal dan penyokong tuan rumah sudah beredar dari stadium.

Pada perlawanan semalam, Mohamadou Sumareh menjadi wira pasukan negara apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit terakhir permainan.

Anda boleh membaca artikel lain mengenai perlawanan antara Malaysia menentang Indonesia di sini:

Jaringan Sumareh Hancurkan Impian Garuda Kutip Tiga Mata Penuh

Pihak Keselamatan GBK Gagal, Jaminan PSSI Tidak Boleh Digunapakai

Syed Saddiq: FAM Akan Buat Aduan Rasmi Insiden Di Gelora Bung Karno Kepada FIFA