Pengadil dari Malaysia terus mendapat perhatian apabila kali ini Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah melantik dua pengadil dari Malaysia untuk bertugas sepanjang pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2020 yang akan berlangsung di tiga buah bandar di Thailand iaitu Bangkok, Songkhla dan Buriram.

Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dimana badan induk itu bersetuju menghantar dua pengadil iaitu Pengadil FIFA, Amirul Izwan Mohd Yaacob dan Penolong Pengadil FIFA, Mohd Yusri Muhamad bagi tugasan berkenaan.

“Amirul dan Yusri akan berlepas ke Bangkok pada Khamis ini (2 Januari 2020) bagi memulakan tugas dan persediaan menjelang sepak mula kejohanan dengan aksi pembukaan Kumpulan A dijadual pada 8 Januari 2020 iaitu Iraq bertemu Australia dan tuan rumah, Thailand menentang Bahrain.

“FAM berharap kedua-dua mereka ini dapat menjalankan tugas masing-masing dengan sebaik mungkin bagi memastikan para pegawai perlawanan dari Malaysia terus mendapat tempat dan kepercayaan di peringkat antarabangsa pada masa akan datang,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Dua Pengadil
ABU DHABI,UNITED ARAB EMIRATES – JANUARY 13: Players of Oman protest to referee Mohd Amirul Izwan during the AFC Asian Cup Group F match between Oman and Japan at Zayed Sports City Stadium on January 13, 2019 in Abu Dhabi, United Arab Emirates. (Photo by Etsuo Hara/Getty Images)

Ini bukan kali pertama pegawai dari Malaysia mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila beberapa pegawai seperti Subkhiddin Mohd Salleh, Mat Lazim Awang Hamat dan Allahyarham Kapten (B) Abdul Halim Abdul Hamid pernah bertugas di peringkat Piala Dunia.

Saingan AFC B-23 Tahun edisi 2020 akan membuka tirainya pada 8 Januari dan akan berakhir pada 26 Januari depan.

Baca artikel lain mengenai saingan AFC B-23 Tahun di sini:

Thailand Umum Senarai 23 Pemain Bagi Hadapi Saingan AFC B-23

7 Pemain Bintang Yang Terlahir Daripada Saingan AFC B-23 Tahun

Korea Selatan Hadapi Saingan AFC B-23 Tanpa Kelibat Bintang Valencia, Lee Kang-in