Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa perlawanan Liga Super melibatkan Kedah Darul Aman FC dengan Penang FC pada 24 Julai 2021 di Stadium Darul Aman terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, keputusan menunda perlawanan berkenaan dibuat selepas dua pemain Kedah telah didapati positif COVID-19.

Jelas beliau, MFL bersetuju untuk menunda perlawanan berkenaan selepas mendapat nasihat daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah susulan kes berkenaan dikesan.

“Pihak MFL dimaklumkan oleh pihak pengurusan Kedah bahawa dua pemain disahkan positif COVID-19 menerusi ujian PCR yang dilakukan ke atas pemain ketika pemain ingin mendaftar masuk semula ke dalam Camp Based Training selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

“Ujian ini adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh MFL kepada semua pasukan untuk pemain memulakan Camp Based Training bagi menjaga Gelembung Sukan.

“Justeru, perlawanan Kedah dengan Penang FC terpaksa ditunda bagi membolehkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk membuat semakan mengenai status semua pemain-pemain serta pegawai Kedah terlebih dahulu.

“Kedua-dua pemain berkenaan dikesan positif COVID-19 ketika tidak bersama pasukan dan bukan berada di dalam gelembung sukan. Di sini pihak pengurusan Kedah mematuhi SOP yang ditetapkan dengan melakukan ujian ke atas pemain untuk mengesan kes lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dato’ Ab Ghani berkata, tarikh baharu perlawanan berkenaan akan dimaklumkan kelak dan berharap agar semua pemain dan pegawai terus meningkatkan pematuhan SOP bagi menjaga Gelembung Sukan demi kelancaran Liga Malaysia 2021.

“Saya berharap semua pemain dan pegawai tidak leka dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerana ini penting untuk melindungi diri dan orang sekeliling daripada dijangkiti COVID-19. Liga Malaysia akan kembali bersambung pada esok 24 Julai 2021 dan diharap agar semua pasukan lebih berhati-hati dengan wabak ini demi kelangsungan saingan musim ini,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

JDT Adalah Penanda Aras Bola Sepak Asia Tenggara

TRW Kelantan FC Sudah Mulakan ‘Legal Action’ Tuntut Kerugian Dalam Beberapa ‘Live Streaming’ Sebelum Ini

Michael Ijezie Jadi Harapan Baharu Kuching City