Selangor memulakan langkah bagi mendapatkan khidmat pemain import untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan apabila dilaporkan semakin hampir untuk menandatangani dua pemain dari Jordan.

Menurut perkongsian wartawan The Star, T.Avineshwaran, dua pemain yang dimaksudkan ialah Yazan Al-Arab yang beraksi di posisi pertahanan dan Baha’ Abdel-Rahman yang beraksi di bahagian tengah dan kedua-dua pemain beraksi dalam skuad kebangsaan Jordan.

Yazan merupakan pemain berusia 25 tahun dan sebelum ini beliau banyak beraksi dalam saingan Liga Jordan bersama Al-Jazeera dari tahun 2015 hingga 2021 dan kemudiannya menyertai Al-Wehdat pada awal tahun ini.

Bagi Abdel-Rahman pula, beliau merupakan pemain berusia 34 tahun dan mempunyai pengalaman luas beraksi di beberapa liga negara Asia barat antaranya Jordan, Qatar, Arab Saudi dan Kuwait.

Pada temasya Piala Asia 2019, Yazan dan Abdel-Rahman tersenarai dalam skuad Jordan yang menyaksikan pasukan itu tewas kepada Vietnam menerusi penentuan sepakan penalti pada peringkat 16 pasukan terakhir.

Sehingga saat ini, masih belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor mengenai dua pemain ini namun Yazan menerusi laman media sosial Instagram miliknya mengumumkan bahawa beliau sudah menandatangani kontrak bersama skuad Gergasi Merah bagi menghadapi saingan musim hadapan.

Selain dua pemain skuad kebangsaan Jordan ini, pasukan bimbingan Michael Feichtenbeiner itu juga semakin hampir untuk mendapatkan khidmat penjaga gol pasukan negara, Sam Somerville serta beberapa pemain lain seperti Zahril Azri dan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Fazly Mazlan.

Musim lalu, Selangor menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima dan mara sehingga ke peringkat suku akhir dimana mereka tewas kepada pasukan yang muncul juara sekaligus seteru utama Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur City FC.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim hadapan di sini:

‘Kante Ganu’ Sah Sertai Kedah Darul Aman

Kehadiran Papé Diakité Mampu Bantu Terengganu Dalam Perebutan Bola Di Udara

Ultras Tranung Tolak Pengurus Pasukan Tidak Mempunyai Merit