Dua kelab yang berpangkalan di Lembah Klang dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil.

Menurut perkongsian wartawan The Star, T.Avineshwaran, dua kelab Lembah Klang iaitu Petaling Jaya City FC dan Selangor berminat untuk mendapatkan khidmat Rawilson sekaligus mengukuhkan benteng pertahanan.

PJ City dikhabarkan bakal menggunakan sepenuhnya khidmat pemain tempatan bagi menghadapi saingan musim 2021 dan skuad bimbingan P.Maniam itu berpendapat Rawilson sebagai calon yang sesuai untuk mengisi benteng pertahanan.

Bagi Selangor pula, mereka dilihat mencari satu lagi pemain pertahanan setelah mengekalkan khidmat Rodney Celvin dan Ashmawi Yakin serta membawa Shahrul Nazeem dari Selangor 2 ke pasukan utama.

Rawilson Batuil mengabdikan karier bola sepak profesional beliau setakat ini bersama pasukan Sabah dimana pemain berusia 26 tahun itu telah memenangi beberapa kejuaraan sejak menyarung jersi skuad Tambadau.

Beraksi bersama pasukan utama sejak 2014, Rawilson diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan pada 2017 lalu ketika Jelius Ating menjadi ketua jurulatih.

Pada musim 2019, Rawilson membantu Sabah muncul juara Liga Perdana sekaligus layak beraksi dalam saingan Liga Super pada musim 2020 lalu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Perak Atau Kuala Lumpur Jadi Destinasi Seterusnya Hadin Azman

Kelantan United Jalin Kerjasama Dengan Yakult Malaysia, Dijangka Akan Ada Pemain Dan Jurulatih Jepun Musim 2021

Yusri Che Lah Terima Tawaran Bimbing Skuad Pelapis Ala Harimau Muda