Dua kelab Liga Korea Selatan (K1) dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap skuad kebangsaan iaitu Faisal Halim.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom dimana dua kelab yang dimaksudkan ialah Suwon Samsung Bluewings dan Incheon United.

Ejen dari Korea Selatan, Lee Jeong dalam satu temu bual baru-baru ini berkata beliau kagum dengan prestasi yang ditampilkan oleh Faisal selepas menyaksikan pemain itu beraksi.

“Saya sudah lihat pemain aksi sayap No.7 Selangor (Faisal). Dia bermain dengan begitu baik sekali. Selepas itu saya menghubungi kelab di Korea Selatan (berkenaan Faisal).

“Dan sekarang dua kelab menunjukkan minat terhadapnya. Pasukan pertama ialah Suwon Samsung dari K-1 (K-League 1). Satu lagi pasukan ialah Incheon United juga K-1,” katanya.

Ketika ini, Liga Korea tidak mempunyai kuota khas untuk pemain import dari rantau Asia Tenggara seperti mana yang terdapat di J League.

Sekiranya Faisal Halim mahu menyertai salah satu pasukan, maka beliau akan mengisi kuota pemain import dari rantau Asia.

Berdasarkan senarai daftar pemain terkini, Suwon Bluewings kini memiliki pemain Korea Utara, An Byung Jon. Manakala Incheon United pula memiliki pemain berasal dari Australia, Harrison Andrew.

K League 1 membenarkan setiap pasukan mendaftarkan enam pemain asing termasuk satu slot dari Asia. Dan setiap pasukan hanya membenarkan untuk menurunkan lima pemain pada satu masa di setiap perlawanan.