Dua jurulatih Malaysia iaitu Azmin Azram dan Mashidee Sulaiman melebarkan sayap ke Vietnam apabila kedua-duanya menyertai kelab yang beraksi di liga negara tersebut.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Azmin menyertai Hanoi Police FC manakala Mashidee kembali menyertai Nam Dinh FC.

Azmin pernah berkhidmat bersama pasukan senior kebangsaan dimana beliau pernah bekerjasama dengan beberapa penjaga gol ternama tanah air seperti Farizal Marlias, Khairuazhan Khalid, Hafizul Hakim dan Khairul Fahmi Che Mat.

Mashidee pernah berkhidmat bersama pasukan negara lebih tepatnya skuad B-22 tahun namun beliau menjadi antara lima jurulatih yang dipecat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jun 2017 lalu.

Pada 2019, Mashidee menyertai Nam Dinh namun jurulatih itu kemudiannya pulang ke Malaysia. Bagi saingan musim 2023, khidmat jurulatih yang pernah berkhidmat bersama Kuala Lumpur City itu kembali ditagih oleh Nam Dinh.

Hanoi Police atau yang turut dikenali dengan nama Cong An Nhan Dan FC muncul juara saingan liga divisyen dua Vietnam pada musim 2022 sekaligus menempah tiket untuk beraksi di saingan divisyen utama pada musim hadapan.

Bagi Nam Dinh pula, mereka menamatkan saingan liga divisyen utama di tangga ke-12, dibezakan satu mata dengan pasukan di tangga tercorot sekaligus berjaya mengelak daripada tersingkir ke divisyen dua musim hadapan.

Langkah dua jurulatih Malaysia ini diharap menjadi inspirasi kepada jurulatih lain dan juga pemain negara untuk lebih berani dengan beraksi di liga luar negara.