Skuad bawah 18 tahun negara (B-18) melakukan kejutan terbesar dalam kejohanan AFF B-18 apabila mengejutkan pasukan pilihan, Australia 3-0 pada perlawanan keempat kumpulan B di Stadium Thanh Long, Vietnam petang tadi.

Kemenangan itu turut mencerahkan peluang Malaysia untuk mara ke peringkat separuh akhir selepas mengumpulkan 9 mata hasil daripada 3 kemenangan ke atas Singapura (3-1), Kemboja (3-0) serta Australia (3-0) dan kini menghuni kedudukan teratas kumpulan.

68755278_2323428784420539_5847567612380184576_o

FOTO: FAM

Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Brad Maloney terlebih dahulu diuji dengan beberapa ancaman berbahaya daripada penyerang Australia namun mudah dipatahkan oleh benteng pertahanan negara.

Luqman Hakim yang bakal menjalani ujian percubaan dengan kelab liga divisyen 1 Jepun, Cerezo Osaka ternyata memberi masalah yang besar kepada Australia apabila mudah menyempurnakan hantaran jauh yang cantik daripada Mohd Nasip Mohammad Zain untuk meletakkan kedudukan Malaysia kepada 1-0.

10 minit kemudian, Malaysia terus melebarkan kedudukan kepada 2-0 apabila pemain pertahanan Azam Azmi melepaskan rembatan voli di dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Australia hasil daripada sepakan sudut Firdaus Kaironnisam.

Tersentak dengan dua jaringan itu, Australia cuba bangkit mencari jaringan penyamaan namun dikecewakan oleh penyudah yang tumpul. Luqman sekali lagi menjadi wira apabila memperdayakan pemain pertahanan sebelum bola rembatannya terkena kaki penjaga gol lawan bergolek masuk ke dalam gawang untuk menjadikan kedudukan kepada 3-0.

Di separuh masa kedua, Australia mula mendapat rentak dan terus mengandakan asakan tetapi mereka kelihatan sukar untuk memecahkan kekebalan bentang pertahanan Malaysia. 

Skuad negara juga berpeluang menjadikan kedudukan kepada 4-0 pada minit ke 70 tetapi percubaan Azam Azmi hasil daripada hantaran pendek rakan sepasukannya sempat ditepis keluar oleh penjaga gol lawan.

Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan skuad negara mempunyai peluang yang cerah untuk menempah tiket ke separuh akhir jika mengutip sekurang-kurangnya satu mata dalam aksi yang seterusnya menentang Thailand pada hari Khamis ini.

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group