Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) didakwa gagal menjelaskan tunggakan gaji yang melibatkan dua bekas pemain import mereka, Milos Raickovic Rai dan Mateo Roskam sejak tahun lepas.

Menurut laporan daripada SemuanyaBola, pengurusan FAS dikatakan tidak menepati janji mereka untuk menyelesaikan tunggakan itu dan kerap kali memberikan harapan palsu.

“Benar, saya mempunyai masalah tunggakan gaji bersama Sarawak. Jumlah dan tempoh tunggakan adalah berlainan pada setiap pemain.

“Saya tidak pasti apa masalah pengurusan [FAS] tetap apa yang saya dengar hanyalah penipuan demi penipuan. Ia sukar dipercayai,” kata Milos Raickovic.

Raickovic beraksi bersama skuad Sarawak selama dua musim sejak tahun 2007 sebelum ke Montenegro untuk menyertai kembali bekas kelab di negaranya, FK Budocnost Podgorica. Manakala Mateo Roskam kini beraksi bersama UKM FC dalam saingan Liga Premier musim ini.

ECZgbg6VAAAZXYL
MATEO ROSKAM

“Sebenarnya saya tidak mahu memberi masalah kepada Sarawak. Ini kerana mereka berjanji akan menyelesaikan [tunggakan] setiap kali ditanya. Janji mereka [FAS] ialah untuk menunggu sehingga minggu hadapan, kemudian bulan hadapan.

“Sekarang sudah Ogos. Saya sudah menunggu selama 10 bulan, dan ia sudah cukup lama.

“Kelab seperti Sarawak selayaknya memperolehi penghormatan yang lebih baik. Pendedahan ini ialah supaya mereka [penyokong] dan pihak yang benar-benar sayangkan pasukan dan bola sepak Sarawak mengetahui situasi sebenar,” jelas Raickovic.

Berbeza dengan Raickovic, Roskam bagaimanapun hanya mempunyai tunggakan gaji selama tiga bulan oleh FAS. Beliau juga telah membuat aduan rasmi kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk diambil tindakan yang sewajarnya.

“Saya menunggu sehingga sekarang kerana saya percayakan mereka [pengurusan FAS], dan niat saya ialah untuk turut membantu,” jelas Roskam.

“Namun keadaannya tampak semakin parah. Setiap bulan mereka hanya bercakap bohong. Kami menanti, dan sabar menanti. Jujur, saya sedih melihat keadaan Sarawak pada hari ini.

“Masalahnya mereka bercakap seolah-olah mereka telah menjelaskan [bayaran] itu semua. Seolah-olah semuanya dalam keadaan baik, tetapi hakikatnya tidak.” tambahnya.

Sumber