Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Dr Zulakbal Abd Karim menerima surat tunjuk sebab daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kritikan yang dilontarkan terhadap pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Dr Zulakbal kini berdepan tindakan berat susulan kenyataan beliau disabitkan atas kesalahan artikel 88 kerana mengkritik menggunakan saluran media tanpa mendapat kebenaran badan induk itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata surat tunjuk sebab yang diberikan kepada Dr Zulakbal adalah di atas kapisitinya selaku ahli PJBM yang juga ahli gabungan FAM.

Stuart Ramalingam
Sumber Gambar: mStar

“Sebagai badan induk, kita perlu pastikan semua ahli gabungan mengikut proses dan saluran. Mungkin itu adalah pandangan peribadinya, namun dia tidak boleh lari daripada jawatan yang dipegangnya dalam PJBM.

“Jika mahu mengemukakan cadangan ataupun kritikan, ahli perlu mengikut saluran yang betul dan bukan mengambil tindakan sendiri,” kata Stuart menurut laporan Harian Metro.

Sebelum ini, Dr Zulakbal mengkritik MFL dengan menganggap badan tersebut gagal membawa perubahan besar dalam Liga M ketika ini selepas masalah sama masih berulang setiap tahun.

Presiden PJBM, B.Sathianathan turut menyuarakan kekecewaan beliau dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Zulakbal.