Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pemerhati bola sepak, Dr Pekan Ramli tidak menganggap kenyataan dikeluarkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) bertujuan untuk menunjukkan rasa riak atau meninggi diri dengan pencapaian hebat dinikmati kelab tersebut.

Susulan tewas kepada Terengganu pada perlawanan minggu lalu, TMJ memuatnaik kenyataan di media sosial peribadi milik Baginda yang antaranya berbunyi:

“Last sekali kepada penyokong kami dan penyokong bola sepak tanah air. Saya masih hidup. JDT will always remain the biggest. Nak bunuh JDT, kena matikan TMJ dahulu.”

Memetik sumber dikeluarkan Berita Harian, Pekan melihat kenyataan tersebut sebagai satu bentuk perang saraf buat pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia.

Beliau juga turut menyamakan karakter dimiliki TMJ adalah sama seperti apa yang ditampilkan pengurus penuh dengan provokasi, Jose Mourinho.

“Berdasarkan kenyataan terbabit, kita dapat memahami yang JDT sama sekali tidak akan memberi laluan mudah kepada mana-mana pasukan yang cuba mencabar mereka dan mereka tidak hanya akan terhenti di sini, mereka mahu pergi lebih jauh.”

“Tunku Ismail pun bukanlah individu yang calang-calang dan beliau memang ada aura tersendiri. Kalaulah setakat orang biasa yang bercakap dan melakukan perkara yang biasa, saya fikir JDT tidak akan sampai ke tahap seperti ini.”

“Kenyataan berbaur provokasi, ego yang tinggi pun bukanlah satu perkara yang pelik dalam sukan khususnya dalam bola sepak. Perkara ini satu kelaziman dalam bola sepak.”

“Contohnya seperti Jose Mourinho, kita dapat lihat dia adalah pengurus dengan mulut yang lancang dan gemar bermain perang saraf. Ini pendekatan yang sama seperti apa yang dinyatakan Tunku Ismail menerusi kenyataan terbabit,” ujar Dr Pekan bercakap kepada Berita Harian.

 

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group