Permohonan Persatuan Bola Sepak Selangor (FA Selangor) untuk menswastakan pasukan bola sepak utamanya di bawah nama yang baharu iaitu Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) telah diluluskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi pada 29 September 2020.

Setiausaha Agung FA Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon menyatakan bahawa melalui proses penswastaan ini, perbezaan peranan yang lebih jelas akan dapat dilihat di antara FA Selangor dan Selangor FC.

FA Selangor akan memberikan tumpuan penuh kepada pembangunan akar umbi seperti pendidikan jurulatih, penyeliaan lesen dan mutu para pengadil di peringkat negeri, selain membangunkan liga dan kejohanan bola sepak di peringkat negeri, termasuklah bola sepak peringkat sekolah, bola sepak wanita, serta pembangunan kelab-kelab bola sepak amatur dan kelab ahli gabungan di Selangor.

Aspek pemerkasaan skuad utama Selangor, Selangor 2, pasukan Futsal Selangor serta program pembangunan skuad Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan Wanita Selangor pula bakal menjadi fokus utama Selangor FC di bawah pengendalian syarikat Red Giants FC Sdn Bhd.

Red Giants FC Sdn Bhd dimiliki oleh beberapa pemegang saham seperti Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor (selaku pemegang saham utama), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FA Selangor.

Walau bagaimanapun, struktur pegangan saham ini bukanlah sesuatu yang muktamad dan kekal kerana Red Giants FC Sdn Bhd sentiasa terbuka untuk menerima pelabur yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada pemegang saham syarikat ini.

Penswastaan ini juga dilihat bakal membawa entiti kelab bola sepak Selangor sejajar dengan industri bola sepak moden kerana ia lebih bersifat progresif, membangun, dan memandang kehadapan. Ia mampu mendorong pelabur tempatan dan asing untuk terlibat dalam sukan bola sepak dan mengurangkan kebergantungan sukan bola sepak kepada kerajaan negeri.

Berkenaan dengan identiti baharu, FA Selangor akan terus menggunakan logo sedia ada. Begitu juga Selangor FC akan turut mengekalkan logo keramat Selangor yang asal berbentuk perisai, dengan lambang jata Selangor di bahagian atas. Namun kelainan pada logo Selangor FC berbanding logo asal hanyalah pada perkataan persatuan yang digantikan dengan perkataan kelab.

Keputusan untuk terus menggunakan reka bentuk logo sedia ada untuk Selangor FC diambil kerana logo ini cukup bermakna dan simbolik, selain telah lama sebati dengan pasukan Gergasi Merah. Ianya juga merupakan lambang keberanian dan kedaulatan yang ada pada pasukan Selangor dan dilihat tidak mudah untuk ditukarkan begitu sahaja.

Namun demikian, ini tidak bermaksud Selangor FC tidak akan membuat sebarang perubahan terhadap identiti pasukan.

“Sebarang proses perubahan identiti pasukan mungkin akan berlaku di masa hadapan, sekitar dua atau tiga tahun yang akan datang,” tambah Dr Johan.

Misi dan visi asal FA Selangor untuk membina sebuah pasukan bola sepak yang mampan dan mampu bersaing di peringkat Asia akan terus kekal dan bakal diterapkan ke dalam Selangor FC.

“FA Selangor akan lebih memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi Selangor manakala Selangor FC akan berusaha dalam pembangunan bola sepak elit dan pengkomersialan bola sepak Selangor di peringkat profesional,” jelas Dr Johan.

FA Selangor dan Selangor FC akan terus bekerjasama meskipun kedua-dua entiti akan mempunyai fokus dalam tugas yang berbeza, namun matlamat utama adalah untuk terus saling membantu bagi meningkatkan industri bola negeri Selangor.

Meskipun begitu, Selangor akan terus beroperasi dan bertanding sebagai FA Selangor sehingga akhir musim ini di atas faktor peraturan dan undang-undang liga yang tidak membenarkan perpindahan atau pertukaran entiti semasa musim bola sepak sedang berlangsung.

Segala urusan komunikasi, penjenamaan dan pengurusan di bawah Selangor FC hanya akan bermula secara rasmi pada 1 Disember 2020 selari dengana permulaan musim bola sepak yang baharu.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami  sediakan untuk anda.

Bakat Dikesan Ketika Berlari-Lari Di Koridor Kondominium, Takehiro Tomiyasu Kini Target Utama AC Milan

Portal Sukan Thailand Dedahkan Ejen Chanathip Songkrasin Hantar ‘Profile’ Ke Elche CF Dalam Saingan La Liga

4 Perlawanan Terkini Raih 3,648,654 Tontonan Di Platform Youtube, JDT Buktikan Miliki Daya Tarikan Unik

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group