Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR-RI) telah bersetuju untuk memberikan kerakyatan negara tersebut buat Jordi Amat dan Sandy Walsh sekali gus membolehkan kedua-dua pemain itu menyarung jersi skuad Garuda.

Menurut sumber laman sesawang rasmi DPI-RI, persetujuan untuk memberikan kerakyatan buat pemain kelahiran Sepanyol dan Belgium itu menjadi salah satu daripada enam intipati Forum Tertinggi DPR-RI ke-5 Persidangan I Tahun Sidang 2022–2023 yang diadakan semalam.

Amat yang pernah beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris dan La Liga pada ketika ini sudah dimiliki oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Walsh pula masih di Belgium bersama KV Mechelen.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Jordi Amat mempunyai darah Indonesia dari neneknya manakala ibu Sandy Walsh pula kelahiran Switzerland-Belanda berketurunan Indonesia.

“Selamat kepada saudara Jordi Amat Maas dan saudara Sandy Henny Walsh yang sudah mendapatkan persetujuan naturalisasi (mendapat kerakyatan).”

“DPR berharap, pemberian kewarganegaraan ini dapat memperkuatkan skuad kebangsaan Indonesia sehingga skuad Garuda semakin berprestasi,” ujar Ketua DPR RI Dr. (H.C) Puan Maharani.

“Kita sudah beberapa kali memberikan naturalisasi kepada atlet dengan hasil yang cukup memuaskan.”

“Naturalisasi yang prosesnya melalui persetujuan DPR menjadi langkah tepat untuk menjadi tunjang kepada prestasi sukan tanah air. Kita berharap, keberhasilan dalam bidang sukan dapat semakin mengharumkan nama Indonesia di kancah antarabangsa,”

Sementara itu, Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Mochamad Iriawan meluahkan rasa syukur kerana segala urusan untuk menjadikan pemain skuad kebangsaan Indonesia sudah semakin hampir.

“Alhamdulillah proses naturalisasi Jordi Amat dan Sandy Walsh tinggal beberapa langkah lagi.”

“Terima kasih untuk DPR RI, Komisi III, Komisi X, Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia (Kemenkumham), Kementerian Pemuda dan Olahraga (Kemenpora), yang sudah membantu proses hingga saat ini,” kata Iriawan kepada PSSI.

Sumber