Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma akhirnya bersuara tentang kegagalan Itali ke Piala Dunia 2022.

Donnarumma antara nama yang dikecam peminat Itali sendiri kerana dianggap lambat untuk memberikan respon kepada rembatan jark jauh daripada Trajkovski.

Sebelum itu Donnarumma juga dikritik peminat PSG kerana menuduhnya terlalu kasual dalam aksi berdepan Real Madrid dan menjadi punca kepada kebangkitan Madrid dalam UCL sekaligus menyingkirkan PSG daripada kejohanan itu.

Itali gagal menjuarai kumpulan pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 Kumpulan C di zon Eropah. Mereka juga perlu bersaing untuk mendapatkan tiket melalui playoff.

Itali kemudian berdepan dengan Macedonia Utara. Di atas kertas, Azzurri dilihat tiada masalah untuk ke final aksi play off.

Namun malangnya apabila Itali kalah dengan jaringan 1-0. Gol pada masa kecederaan oleh Aleksandar Trajkovski membuatkan Itali gagal ke Piala Dunia buat dua kali berturut turut.

Lebih memalukan adalah mereka membawa status sebagai juara Eropah dalam aksi berdepan pasukan kerdil seperti Macedonia Utara di separuh akhir play off.

Beberapa hari selepas Itali dikalahkan oleh Macedonia Utara, Gianluigi Donnarumma akhirnya bersuara. Menerusi akaun Instagram peribadinya, dia mengakui amat kecewa kerana gagal membawa Azzurri beraksi di Piala Dunia 2022.

Ini kerana dia dan rakan sepasukannya telah membuatkan peminat setia Azzurri sangat kecewa dan sedih. Donnarumma kemudiannya berharap agar semua pihak supaya segera melupakan tragedi itu dan fokus memandang ke hadapan.

“Kami benar benar mahu mengambil bahagian dalam Piala Dunia, untuk merasai emosi luar biasa yang boleh dibawa oleh pertandingan ini, untuk memberikan senyuman kepada warga Itali yang mengiringi kami beberapa bulan lalu untuk menakluki Kejohanan Eropah,” tulis Donnarumma di akaun Instagramnya.

“Malangnya ia tidak akan seperti itu, kami sangat kecewa dan kami tahu bagaimana keadaan semua orang Itali, sama seperti kami rasakan,” katanya.

“Tetapi kami juga tahu bahawa dalam bola sepak, seperti dalam kehidupan, anda perlu melihat ke hadapan dan kembali ke dalam permainan.”

“Tugas kami adalah untuk membawa pasukan kebangsaan kembali ke tempat asalnya dan membina, langkah demi langkah, masa depan yang menang. Forza Azzurri.”

Sebelum ini Roberto Mancini turut menyatakan kekecewaannya. Mancini menganggap ini adalah kegagalan terbesar di dalam hidupnya.

“Euro adalah pengalaman paling indah dalam hidup saya, ia pula adalah kekecewaan terbesar,” kata Mancini.

“Kami tidak boleh berkata apa-apa, itu bola sepak. Kadang-kadang perkara luar biasa berlaku dan ianya sudah berlaku,” tegas Mancini.