Pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Dominic Tan sah menyertai kelab Thai League 1, Trat FC secara pinjaman sehingga penghujung saingan musim 2019.

Perkara ini disahkan oleh kelab beliau, Johor Darul Ta’zim melalui satu pengumuman di laman media sosial rasmi pasukan iaitu Johor Southern Tigers sebentar tadi.

Pemain pertahanan berusia 22 tahun baru sahaja memperoleh penampilan pertama bersama skuad Harimau Malaya apabila beliau diturunkan dalam satu perlawanan persahabatan menentang Nepal dua minggu lalu.

Trat FC ketika ini menghuni tangga ke-6 dalam carta Thai League 1 musim 2019 setakat ini. Pasukan bimbingan Phayong Khunnaen itu mengumpul 20 mata selepas mengharungi 13 perlawanan liga.

Dominic Tan berkemungkinan besar akan digandingkan dengan pemain dari Singapura, Baihakhi Khaizan yang juga pernah beraksi bersama Johor Darul Ta’zim.