Ketua jurulatih pasukan Pahang, Dollah Salleh percaya gandingan serangan, Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi akan lebih berbisa pada perlawanan Liga Malaysia yang akan datang.

Pada perlawanan menentang Kedah semalam, Dollah memutuskan untuk menurunkan Kaimbi yang dibawa masuk bagi menggantikan Ze Love dalam kesebelasan utama pasukan bagi bergandingan dengan Dickson.

Namun,gandingan keduanya gagal menghadirkan jaringan untuk Pahang sekaligus perlawanan berakhir dengan keputusan 0-0.

Pahang FA
Sumber Gambar: Pahang FA

“Saya berpuas hati kerana ini merupakan perlawanan pertama gandingan mereka dan tanpa seratus peratus kecergasan, mereka masih boleh beri aksi terbaik pada perlawanan selepas ini.

“Baru dua tiga hari mereka bersama sudah nampak keserasian antara mereka. Saya percaya pada perlawanan selepas ini kita akan lihat mereka beraksi lebih mantap lagi,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pahang gagal untuk mendekatkan jarak mereka dengan pendahulu Liga, Johor Darul Ta’zim yang turut mencatat keputusan seri ketika berkunjung ke Manjung bagi menghadapi pasukan PKNP FC.

Tambah Dollah, beliau masih positif Pahang mampu untuk mengejar namun menyifatkan misi tersebut sedikit sukar kerana jurang mata yang besar antara kedua-dua pasukan.

JDT kini mendahului dalam carta Liga Super dengan kelebihan 13 mata di hadapan pasukan Pahang.