Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Hanya satu kemenangan dengan kedudukan di tangga kedua terakhir Liga Super meletakkan pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh dalam keadaan yang cukup sukar bagi menaikkan semula moral para pemain bagi menghadapi Terengganu Selasa ini di Stadium Darul Makmur.

Dollah mengakui situasi musim ini paling mencabar sepanjang bersama Sri Pahang namun beliau enggan pemain-pemainnya mengibarkan bendera putih sebelum berjuang.

Kini di fikiran Dollah hanya satu iaitu tidak mahu sejarah 10 tahun lalu kembali berulang apabila tersingkir ke saingan Liga Premier dan beliau akan membuat apa sahaja demi memastikan Sri Pahang akan kekal di saingan Liga Super.

Dollah Salleh

Sumber Gambar: MFL

“Kalau tengok pada pasukan, memang sebelum saya ambil pun sudah nampak dalam keadaan bermasalah dan sekarang dalam fikiran saya hanya tidak mahu pasukan ini jatuh ke Liga Premier, itu Itu sahaja sasaran paling realistik yang saya rasa sesuai buat pasukan dalam masa ini.

“Pemain utama dalam pasukan ini hampir 70 ke 80 peratus telah keluar dan situasi itu sememangnya cukup sukar memandangkan pemain-pemain utama yang kita ada sekarang bukanlah terdiri daripada mereka yang selalu bermain dalam Liga Super.

“Selepas itu, pemain import selain Lee Tuck juga tidak banyak membantu yang meletakkan pasukan ini bertambah parah serta sukar bagi cabaran kepada pencabar lain.

Dollah Salleh

FOTO: Sri Pahang

“Bagaimanapun saya tidak mahu menjadikan itu sebagai satu alasan, kita kena berjuang apa jadi sekali pun dan saya selalu berpesan kepada pemain untuk sentiasa menunjukkan karekter untuk menang biarpun perbandingan Sri Pahang dengan pasukan lain agak jauh,” katanya.

Kemenangan tunggal Sri Pahang setakat ini ialah semasa menewaskan Sabah FC, 2-1 di laman sendiri pada perlawanan keempat Liga Super selain satu lagi mata ketika mengikat Melaka United 0-0 di Stadium Hang Jebat selain tumbang dalam empat perlawanan lain.

Selain itu, Sri Pahang merupakan pasukan kedua yang menghasilkan gol paling rendah dalam saingan Liga Super musim ini selain rekod pertahanan yang paling mudah dibolosi iaitu 10 gol bersama UiTM FC.

Dalam pada itu, Dollah menjelaskan beliau sedang mempertimbangkan untuk menggunakan semua pemain tempatan menjelang aksi dengan Terengganu FC tetapi belum melakukan keputusan muktamad.

Dollah Salleh

Sumber Gambar: Pahang FA

“Goulon tidak boleh diturunkan kerana mendapat kad merah semasa pertemuan dengan Kedah manakala yang lain saya belum buat keputusan muktamad lagi cuma saya rasa mahu menggunakan semua pemain tempatan kali ini.

“Saya mahu berikan peluang kepada pemain tempatan dan lihat apa hasilnya, bagaimanapun tengok dahulu sehingga hari esok sebelum saya senaraikan kesebelasan utama, ” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

MFL Umum Pindaan Jadual Liga Malaysia, 5 Perlawanan Bagi Setiap Pasukan MSL Dalam Bulan Ramadan 2021

Sabah FC Buat Pelaburan Jangka Panjang, Pasang Papan Iklan LED Dan ‘Bucket Seat’ Di Stadium Likas

Lim Teong Kim: Mana Boleh Samakan Skuad Projek FAM-MSN Dengan Harimau Muda

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group