Pengendali pasukan Pahang, Dollah Salleh mahu skaud bimbingannya untuk mengekalkan rentak kemenangan apabila menerima kunjungan Perak dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia 2019, malam esok di Stadium Darul Makmur.

Pada perlawanan pertama, Pahang berjaya mencatat kemenangan apabila menundukkan pasukan Pulau Pinang dengan keputusan 3-1 dan Dollah mahu anak-anak buahnya untuk memberikan persembahan terbaik sekaligus menewaskan naib juara Piala FA 2019 itu.

Dollah berkata: Selepas menang 3-1 ke atas Pulau Pinang Sabtu lalu, kami tidak boleh kehilangan mata di tempat sendiri biarpun Perak berada pada prestasi terbaik ketika ini. Fokus utama pasukan adalah mendapatkan tiga mata dan pemain perlu bijak dalam memberi tekanan kepada lawan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Dollah Saleh
Sumber Gambar: Stadium Astro

Pada masa yang sama, bekas pengendali pasukan negara itu berharap pemainnya tidak mengulangi kesilapan minggu lalu dimana pemain Pahang mengambil masa yang lama untuk menyeusaikan diri dan membiarkan pasukan lawan untuk membuka tirai jaringan.

Tambah Dollah, jentera serangan yang akan diisi oleh Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi harus berfungsi dengan baik bagi memastikan misi meraih kemenangan kedua dapat dicapai.

Pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super musim ini menyaksikan Pahang mencatat kemenangan 1-0 dan seri 0-0 serta tewas 3-4 menerusi agregat di separuh akhir Piala FA kepada Perak.