Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh berpendapat khidmat pemain naturalisasi yang berkualiti masih diperlukan dalam skuad Harimau Malaya untuk memberikan saingan di pentas antarabangsa.

Beliau yang kini membimbing Sri Pahang mengakui bahawa, semua pihak harus berpijak di bumi nyata di mana pasukan kebangsaan sememangnya memerlukan pemain naturalisasi yang mempunyai kelebihan daripada aspek fizikal selain daripada kemahiran di atas padang.

“Kalau tanya saya, memang benda ini (program naturalisasi) saya yang syorkan untuk kita ambil pemain-pemain naturalisasi ketika saya masih jurulatih kebangsaan suatu ketika dahulu.

Naturalisasi

Sumber Gambar: FAM

“Ini hakikat yang kita semua perlu terima bahawa Malaysia memang perlukan pemain naturalisasi dan salah satu sebab adalah daripada segi fizikal kerana apabila bermain di peringkat Asia, ini belum cerita di pentas Eropah lagi, pemain-pemain tempatan kita sahaja belum cukup untuk bersaing.

“Masing-masing ada pendapat sendiri, tetapi kalau ikut pengalaman saya, sukarlah kalau kita nak bergantung harap kepada pemain tempatan sahaja untuk ke peringkat tertinggi, jadi kita kena pastikan pemain naturalisasi ini benar-benar yang layak untuk bersama skuad kebangsaan,” kata Dollah yang membimbing Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF 2014.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City, Stanley Bernard mengakui kehadiran pemain naturalisasi juga turut membantu perkembangan Liga Malaysia dalam melebarkan lagi pemilihan pemain-pemain berkualiti untuk kebaikan kelab.

Pemain Naturalisasi

Sumber Gambar: FAM

“Pada pendapat saya, kita melihat kepada apa kebaikan yang pemain naturalisasi ini boleh bawa kepada kelab, dan secara amnya, pemilihan pemain-pemain juga akan lebih besar malah saingan akan lebih kompetitif.

“Cuma, kita perlu meneliti dengan lebih mendalam terhadap pemain tersebut seperti Paulo Josue, anak dia juga belajar di sini dan dia sendiri dilihat mungkin akan bersara di sini terus, jadi sekiranya dia menjadi pemain naturalisasi, untuk jangka masa panjang, banyak cabang dia boleh pergi.

“Untuk itu, saya rasa kita berbalik kepada apa yang pemain naturalisasi itu boleh berikan kepada kita dan saya dapat lihat adanya mereka ini, liga kita akan menjadi lebih elit dan akan lebih banyak membantu daripada segi perkembangan sesebuah pasukan itu”, jelasnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:

Natxo Insa Tampil Cemerlang, Tiba Masa Kembali Beraksi Bersama Harimau Malaya?

ACL 2021: Jaringan Tunggal Hiroyuki Abe Pastikan JDT Hampa

Skuad Kebangsaan Iraq Hubungi Pemain Kacukan Negara, Jaami Qureshi

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group