Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Ketua jurulatih interim Sri Pahang FC, Dato’ Dollah Salleh menghamburkan pujian buat anak buahnya selepas berjaya mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas PJ City FC dalam aksi Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya malam tadi.

Lebih manis untuk diulas mengenai kejayaan di laman lawan itu ialah ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut buat Sri Pahang sebaik sahaja dibimbing oleh legenda bola sepak kebangsaan tersebut.

Malah, Sri Pahang turut tidak dibolosi pada ketiga-tiga perlawanan tersebut dimana mereka menewaskan Selangor dan Kedah dengan keputusan 2-0 di Stadium Darul Makmur.

Perlawanan malam tadi menyaksikan Andres Steven Rodriguez Ossa dan Abdul Malik Mat Ariff terus cemerlang dengan menjaringkan gol pada babak pertama menerusi tandukan. Manakala, Manuel Hidalgo mematikan api perjuangan tuan rumah pada minit ke-90 untuk mengesahkan kemenangan kelima buat skuad Tok Gajah.

“Pertamanya, saya nak ucapkan tahniah kepada pemain, kita bermain dengan apa yang telah dirancangkan,” ujar Dollah bercakap kepada wartawan selepas perlawanan.

“Jadi, apa yang kita rancang pada malam ini telah kita terapkan. Sebelum ini dua perlawanan dengan kemenangan kita belum nampak tetapi ada sedikit peningkatan. Tetapi pada malam ini betul-betul mengikut perancangan.”

“Fandi [Ahmad] juga dengan idea-ideanya banyak membantu kita dan kita dapat apa yang kita nak perangkap PJ City, jadi apa yang kita nak buat tu menjadi.”

Steven Rodriguez cemerlang ledak empat gol pada tiga aksi terakhir Liga Super. Kredit Foto: Malaysian Football League

“Kita tahu PJ City lebih kepada kompak di bahagian pertahanan, jadi macam mana kita nak melepasi pertahanan yang kompak itu, jadi dekat situ perancangan kita lebih banyak  masuk dari kiri dan kanan.”

“Apa yang kita lihat jaringan kita semua, dua gol hasil hantaran lintang dan gol ketiga daripada Hidalgo dari luar masuk ke dalam.”

“Dan satu lagi kebanggaan pada saya dan barisan jurulatih yang lain adalah apabila kita beri tanggungjawab kepada Kevin [Ingreso] dan bila kita dalam keadaan tertekan dia akan main peranan untuk menenangkan keadaan. Jadi, dia buat peranan tersebut, itulah yang saya katakan apa yang kita rancangkan semuanya menjadi.”

Dalam pada itu, Dollah turut menolak tanggapan bahawa aura kehadirannya menjadi faktor kebangkitan Sri Pahang pada ketika ini.

“Bukan saya, bukan saya [faktor kebangkitan]. Sebenarnya ‘coach’ Fandi yang banyak membantu kita. Dia banyak membuat perancangan sambil dibantu oleh Dato’ Haji Ahmad Yusof dan Ahmad Shaharuddin Rosdi.”

“Kita sebenarnya sentiasa membuat perancangan sebagai contoh malam ini kita nak lawan PJ City, kita ‘study’ corak permainan PJ City dan dekat situ kita rancang untuk berikan input kepada ‘coach’ Fandi.”

“Itulah sebenarnya bukan sahaja seorang sahaja, sebenarnya kita bekerja antara semua jurulatih. Idea saya seorang takkan jalan semua ini. Idea kita berempat sebenarnya yang membuatkan pasukan nampak ‘solid’,” tambah Dollah Salleh lagi.