Ketua jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh memuji aksi yang ditampilkan empat tonggak import baharu serta pemain lain dalam mencipta kemenangan 3-2 ke atas Perak di Ipoh, malam tadi.

Ternyata, kehadiran empat pemain import baharu yang berada dalam kesebelasan utama pada perlawanan di Stadium Perak itu memberi derita kepada benteng Perak apabila jaringan tersebut hadir daripada Aung Kaung Mann dan dua lagi menerusi Kenny Athiu.

Dua lagi pemain import, Manuel Federico Hidalgo Gasparini dan Abubakar Yakubu turut memberikan impak berkesan pada perlawanan ini.

Namun, di sebalik kegembiraan mencatatkan kemenangan sekali gus berjaya mengelakkan Sri Pahang daripada terus berada di zon penyingkiran, Dollah telah mengenalpasti kelemahan anak buahnya.

Hal ini kerana beliau melihat barisan pemainnya mempamerkan aksi sambil lewa sehingga membolehkan skuad bimbingan Chong Yee Fatt itu menghasilkan dua gol menerusi Leandro Dos Santos dan Raianderson Da Costa Morais (Careca).

“Tiga mata ini cukup penting untuk kita kerana mula-mula kita sasarkan untuk raih sembilan mata dalam tiga aksi terdahulu, tetapi kita peroleh tujuh mata dan itu juga memadai kerana saya sudah nampak perbezaan lebih baik berbanding ketika berdepan Selangor.”

“Memang nampak ketara apabila import baharu ini beraksi cuma apabila kita mendahului, minit-minit akhir pemain saya sedikit ambil mudah sehingga lawan berjaya meraih gol.”

“Keseluruhan memang saya berpuas hati apa yang ditampilkan oleh empat pemain import ini dan juga pemain-pemain lain yang bertungkus-lumus,” tambah Dollah Salleh lagi.

Berakhir 13 perlawanan secara keseluruhan, saingan Liga Malaysia akan kembali bersambung pada Julai depan bagi memberi laluan kepada aksi skuad kebangsaan.

Sri Pahang telah mengumpul 12 mata untuk berada di tangga kesembilan setelah mencatatkan tiga kemenangan, tiga keputusan seri dan tujuh kekalahan dialami setakat ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Sri Pahang:

Import Baharu Sri Pahang Buat Perak Terus ‘Derita’

CEO Sri Pahang: Kiko Insa Tiada Kena-Mengena Dengan Perpindahan Manuel Hidalgo

Manuel Hidalgo Gembira Dapat Bermain Bersama Sri Pahang