Menjelang perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia 2019 menentang Kedah di Stadium Darul Makmur pada esok, ketua jurulatih pasukan Pahang, Dollah Salleh mengakui beliau kini dalam dilema dalam menentukan barisan pemain yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama.

Kembalinya empat pemain yang sebelum ini disisihkan kerana masalah kecederaan nyata membuatkan Dollah sukar membuat pilihan kerana pemain yang diturunkan pada perlawanan pertama di Daru Aman minggu lalu menampilkan persembahan yang baik.

Dollah Salleh
Sumber Gambar: Stadium Astro

“Di sebalik berita gembira sebaik empat pemain sudah kembali berlatih bersama pasukan, ia turut memerlukan saya membuat keputusan tepat dalam menentukan kesebelasan pemain Sabtu ini. Ketika ini semua pemain begitu bersemangat dan mempamerkan komitmen tinggi untuk bermain dan membantu Pahang melangkah ke final.

“Kita dapat lihat persembahan cemerlang seperti yang dipamerkan Wan Zaharulnizan Wan Zakaria, Saddil Ramdani dan beberapa pemain lain berada pada prestasi terbaik.

Dollah Salleh
Sumber Gambar: Pahang FA

“Dalam situasi ini, ia membuatkan saya berada dalam dilema untuk memastikan pilihan yang dibuat adalah tepat untuk menafikan Kedah daripada beroleh kemenangan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Empat pemain yang telah pulih daripada kecederaan ialah Norshahrul Idlan Talaha, Muslim Ahmad, Faisal Halim dan Zuhair Aizat Mohd Nazri. Pada separuh akhir pertama, Pahang berjaya mendahului namun Kedah bangkit mengikat kedudukan 3-3.

Tambah Dollah, beliau percaya sokongan padu daripada penyokong sendiri serta komitmen penuh yang diberikan oleh pemain mampu untuk membawa Pahang melangkah ke perlawanan akhir edisi kali ini.

Baca artikel lain mengenai perlawanan antara Pahang menentang Kedah di sini:

Piala Malaysia 2019: Wan Jamak Lebih Suka Lihat JDT Menentang Pahang Di Final

Piala Malaysia 2019: Aidil Sharin Tidak Mahu Pemainnya Fikir Pahang Ada Tiga Gol