Sulaiman

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Dua pengendali pasukan Liga Super iaitu Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh menerima penganugerahan yang membawa gelaran Dato dalam satu majlis istiadat yang berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan, pagi tadi bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) itu dikurniakan kerana jasa-jasa mereka dalam sukan bola sepak tempatan selain pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Zainal Abidin yang kini ketua jurulatih Penang FC merupakan salah seorang daripada tujuh legenda bola sepak negara yang berada dalam Kelab Abad FIFA atau FIFA Century Club (untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas) menerusi 116 caps bersama skuad Harimau Malaya.

Dollah pula selain beraksi sebagai penyerang Harimau Malaya sekitar era 1980-an dan 1990-an, turut pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan pada 2014 hingga 2015 dengan membawa Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014.

Selain Zainal Abidin dan Dollah, dua lagi bekas pemain kebangsaan yang turut dikurniakan gelaran Dato’ itu ialah penolong jurulatih Sri Pahang, Ahmad Yusof dan bekas jurulatih Terengganu dan Pahang, Yunus Alif.

Ahmad Yusof sentiasa akan diingat dan dikenang sebagai kapten pasukan ketika Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Sementara Yunus pemain kebangsaan di penghujung era 1970-an hingga 1980-an cukup sinonim namanya di pentas bola sepak negara bersama abangnya, Dato’ Abdah Alif.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dalam satu kenyataan rasmi turut mengucapkan tahniah kepada 4 individu ini.

“Jasa dan pengorbanan Dato’ Zainal Abidin Hassan, Dato’ Dollah Salleh, Dato’ Ahmad Yusoff dan Dato’ Yunus Alif kepada bola sepak Malaysia pastinya akan terus dihargai dan tetap dikenang,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Tarik Perhatian Media Antarabangsa

Liga Super 2022: Amri Yahyah Wira Kebangkitan Sabah Atasi Melaka

Sinar Baharu Buat Respect FC, Syarikat Konglomerat Antarabangsa Ambil Alih Pasukan

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group